Pengurus aset Malaysia lebih yakin dengan pelaburan ESG - Tinjauan Bloomberg

Bernama
Julai 31, 2019 12:58 MYT
72 peratus pengurus aset di Malaysia telah menggabungkan faktor ESG ke dalam proses pelaburan sedia ada berbanding 62 peratus di Singapura. - Gambar hiasan
Pengurus aset di Malaysia lebih yakin dengan pelaburan dalam portfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) berbanding rakan sejawat mereka di Singapura, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Bloomberg.
Pengundian menunjukkan 67 peratus responden Malaysia percaya pelaburan portfolio bersepadu ESG akan memberikan prestasi yang lebih baik daripada portfolio bersepadu bukan ESG, berbanding hanya 58 peratus pengurus aset di Singapura yang yakin dengan pelaburan ESG.
Selain itu, 72 peratus pengurus aset di Malaysia telah menggabungkan faktor ESG ke dalam proses pelaburan sedia ada berbanding 62 peratus di republik pulau itu.
"Lebih banyak pengurus aset di Malaysia kini yang memahami manfaat pelaburan ESG dan mula menggabungkan faktor ESG ke dalam proses pelaburan mereka," kata Ketua Bloomberg ASEAN Maggie Ng dalam satu kenyataan.
Menurutnya, berdasarkan data daripada laporan Global Sustainable Investment Alliance's "2018 Global Sustainable Investment Review", pengurus aset Asia di Malaysia dan Singapura ketinggalan di belakang rakan-rakan sejawat mereka di Eropah dan Amerika Syarikat dalam mengamalkan dasar pelaburan ESG.
"Empat puluh dua peratus pengurus aset di Malaysia merasakan bahawa membina kepakaran tempatan dan melabur dalam pembinaan kapasiti akan menjadi pendorong utama pelaburan ESG di Asia.
"Sebaliknya, pengurus aset yang berpangkalan di Singapura percaya bahawa data yang lebih baik dan alat pelaporan kesan akan membantu meningkatkan pertumbuhan pelaburan ESG," tambah beliau.
Kaji selidik itu diadakan pada forum pembelian tahunan kedua Bloomberg di Kuala Lumpur minggu lepas susulan tinjauan yang serupa di Singapura pada April, dengan lebih daripada 150 peserta pasaran mengadakan perbincangan mengenai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh industri sampingan pada 2019.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #ASEAN #Asia #Bloomberg #dijalankan #ESG #kaji selidik #Kuala Lumpur #Malaysia #pelaburan #pelaburan portfolio bersepadu #pengurus aset #Singapura
;