Pengurangan minyak Arab Saudi menyokong pasaran - RHB

Bernama
Jun 6, 2023 12:57 MYT
Harga minyak agak lemah berikutan prospek ekonomi tidak menentu termasuk data ekonomi China yang lemah dan kebimbangan siling hutang Amerika Syarikat serta pengukuhan dolar US. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengurangan pengeluaran minyak secara sukarela Arab Saudi sebanyak satu juta tong sehari (mbpd) akan memberikan lebih banyak sokongan harga untuk industri minyak dan gas (OG) tempatan sekiranya ia dilanjutkan hingga akhir tahun ini, kata RHB Research (RHB).
Pengeluar OG itu membuat ikrar tersebut semasa mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) pada Ahad.
RHB Research dalam nota penyelidikan hari ini berkata, sementara hasil mesyuarat itu mengulangi komitmen OPEC+ untuk menyokong dan menyediakan kestabilan bagi pasaran OG, impak ke atas pasaran dijangka minimum.
"Harga minyak agak lemah berikutan prospek ekonomi tidak menentu termasuk data ekonomi China yang lemah dan kebimbangan siling hutang Amerika Syarikat serta pengukuhan dolar US.
"Walaupun harga minyak mentah Brent berada pada purata di bawah unjuran US$85 setong pada suku kedua 2023 - risiko menurun kepada unjuran tahun penuh kami - kami masih menjangkakan pasaran minyak bertambah baik pada separuh kedua 2023," katanya.
Dalam laporan bulanan OPEC Mei, RHB Research berkata permintaan minyak masih diunjurkan meningkat sebanyak 2.3 mbpd kepada 101.9 mbpd pada 2023.
"Walaupun masih terdapat risiko untuk jumlah sedemikian dikurangkan, kami percaya pengaruh OPEC+ kekal kukuh dan strateginya untuk melindungi pasaran minyak melalui pengurangan pengeluaran masih utuh," katanya.
-- BERNAMA
#industri minyak dan gas #Arab Saudi #OPEC #harga minyak
;