Pengurangan harga kenderaan baharu mungkin tidak lihat peningkatan jualan
Bernama
April 15, 2013 17:05 MYT
April 15, 2013 17:05 MYT
RHB Research berkata pengurangan pada harga kenderaan baharu tidak semestinya melihat peningkatan jualan kenderaan kerana pengurangan itu akan memberi kesan kepada nilai kenderaan terpakai.
Penilaian ekuiti kereta terpakai adalah komponen penting dalam pembayaran awal kenderaan baharu, katanya dalam satu nota pasaran.
"Penguncupan ketara dalam nilai kereta terpakai boleh mengakibatkan pembeli kereta menghadapi masalah untuk membiaya kereta baharu mereka," katanya.
Isu ini ditambah dengan tempoh pembiayaan sewa beli yang dipanjangkan sehingga sembilan tahun.
"Penguncupan dalam nilai kereta terpakai mengakibatkan peminjam, terutamanya mereka di segmen pendapat rendah, berada pada kedudukan ekuiti negatif, di mana kenderaan lama bernilai jauh lebih rendah daripada baki pinjaman.
"Oleh sebab itu, kami terus melihat kemungkinan perubahan perundangan ini sebagai satu risiko ketara dalam sektor itu," katanya.
RHB Research berkata manifesto pilihan raya pakatan pembangkang mengandungi janji untuk menghapuskan secara berperingkat duti automotif yang boleh menurunkan harga kereta dengan ketara.
Risiko daripada ini adalah bakal pembeli akan mengambil pendirian tunggu dan lihat yang akan menjejaskan trend jualan positif seperti pada September 2012 apabila pembeli menangguhkan pembelian sebelum pengumuman Belanjawan 2012, katanya.
RHB Research telah mengunjurkan jumlah dagangan industri tahun ini meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun kepada 637,000 unit.
Ia berkata kadar faedah kekal menyokong, sungguhpun garis panduan memberi pinjaman secara bertanggungjawab Bank Negara akan terus menjejaskan pembeli pada pasaran harga murah yang didominasi pengeluar kereta nasional.
Faktor pengekang pertumbuhan industri adalah harga sebenar kereta yang tinggi secara umumnya dan nisbah hutang isi rumah yang tinggi, katanya.
"Kekurangan model serba baharu oleh pengeluar kereta tempatan dan strategi harga yang lebih berdaya saing oleh beberapa pengeluar kereta asing bermakna bahagian pasaran Proton dan Perodua akan terus tertekan," katanya.