Pengukuhan DFI satu perkembangan positif - Bank
Bernama
Oktober 11, 2019 04:27 MYT
Oktober 11, 2019 04:27 MYT
Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) melihat perkembangan positif susulan cadangan Belanjawan 2020 memperkukuh ekosistem Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) menerusi penstrukturan semula dan penggabungan empat institusi pembangunan kewangan, termasuk BPMB.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, BPMB berkata cadangan itu akan mewujudkan lebih banyak sinergi yang menguntungkan semua pihak berkepentingan selain memenuhi keperluan ekonomi baharu.
Sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan pelan penstrukturan semula DFI dalam dua fasa yang akan dilaksanakan menerusi pembentukan institusi kewangan baharu dengan penggabungan Bank Pembangunan Malaysia, Danajamin Nasional, SME Bank dan Bank Eksport-Import Malaysia.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, AmBank Group berkata kesungguhan kerajaan bagi menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi industri berteknologi tinggi dan nilai tambah tinggi selain mengiktiraf kepentingan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memacu pertumbuhan ekonomi, khususnya menerusi langkah menangani cabaran pembiayaan PKS dan penggunaan teknologi yang rendah.
"Ini akan membantu memudahkan PKS menjalankan perniagaan, peluang memanfaatkan bidang baharu termasuk inisiatif hijau dan pelaksanaan IR4.0 (revolusi perindustrian keempat) yang lebih pantas," katanya.
Naib Presiden Eksekutif Alliance Bank Malaysia Bhd, SME Ernest Kwong dalam satu kenyataan berkata bank itu mengalu-alukan geran padanan dan peruntukan serta langkah-langkah untuk memudahkan akses pembiayaan untuk PKS.
"Pembiayaan sedemikian akan menggalakkan PKS melabur dalam teknologi untuk meningkatkan operasi harian mereka dan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) Datuk Yunos Abd Ghani turutmenyambut baik Belanjawan 2020 mengenai pelanjutan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan bank tersebut.
"Sejajar dengan mandat penubuhan kami dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan, kami komited untuk menyediakan akses kemudahan perbankan sebagai pengantara kewangan untuk inisiatif kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Belanjawan 2020 turut mengumumkan langkah kerajaan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan BSN mulai 1 Jan, 2020 sehingga 31 Dis, 2021 bagi membantu belia memiliki rumah pertama mereka.
-- BERNAMA
#Alliance Bank
#AmBank Group
#bank
#Belanjawan 2020
#BPMB
#BSN
#DFI
#ekonomi
#geran padanan
#industri berteknologi tinggi
#Institusi Kewangan Pembangunan
#Lim Guan Eng
#pembiayaan
#penggabungan
#penstrukturan semula
#perbankan
#PKS
#sinergi menguntungkan