Penguasaan Proton cecah tahap tertinggi dalam tujuh tahun pada 27.1 peratus

Bernama
Mac 2, 2021 14:51 MYT
Proton mengakhiri Februari dengan tempat kedua di Malaysia dengan gandaan jualan mengatasi angka Januari 2021 sebanyak 5,964 unit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd telah menyampaikan 11,873 kereta pada Februari (domestik dan eksport) untuk mencapai tahap pasaran tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, bersamaan dengan 27.1 peratus penguasaan pasaran automotif, paling tinggi sejak September 2013.
Proton berkata dalam satu kenyataan hari ini berkata ia mengakhiri Februari dengan tempat kedua di Malaysia dengan gandaan jualan mengatasi angka Januari 2021 sebanyak 5,964 unit.
"Berbanding bulan yang sama pada 2020, jumlah jualan meningkat 19.9 peratus, walaupun secara keseluruhan, jumlah jualan bagi dua bulan pertama tahun ini masih 643 unit atau 3.5 peratus di sebalik jumlah kumulatif yang dicatatkan pada tahun lepas," katanya sambil menambah SUV keduanya, Proton X50 yang dilancarkan pada 27 Okt tahun lepas, telah mencapai tahap tertinggi bulanan baharu dengan 3,345 unit disampaikan pada Februari.
Proton berkata sebanyak 1,475 unit Proton X70 turut disampaikan pada bulan berkenaan (yang tertinggi bagi SUV segmen-C), dan syarikat itu menjual sejumlah 4,820 SUV, prestasi terbaiknya dan yang paling banyak berbanding mana-mana jenama di negara ini.
"Model dengan jualan tertinggi, bagaimanapun, masih Proton Saga. Dengan 4,217 unit dihantar, sedan segmen A ini kekal sebagai opsyen popular di kalangan pembeli kereta yang menghargai gabungan praktikal, reka bentuk yang menarik dan lebih nilai untuk ringgit.
"Sedan ini juga telah melebarkan sayapnya dengan menjadi model Proton pertama yang dijual di Kenya pada 25 Feb, yang mana ia dipasang secara tempatan oleh rakan kongsi Proton, Simba Corporation.
"Model Proton yang lain juga menunjukkan prestasi yang baik. Proton Persona kembali menerajui dalam kategori sedan segmen B apabila mencatatkan penghantaran 1,818 unit pada Februari, mengatasi pesaingnya yang lebih baru dalam proses itu," katanya.
Proton Exora pula kekal menguasai pasaran MPV segmen C manakala Proton Iriz meraih tempat ketiga untuk "hatchback" segmen B.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata Februari terus menjadi bulan yang sukar bagi industri automotif Malaysia, namun Proton berprestasi positif kerana ia mampu menghasilkan lebih banyak kereta dan dengan itu berjaya merealisasikan tunggakan dalam tempahannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Ini penting kerana kita perlu konsisten dalam menyampaikan tempahan yang dibuat bagi mengelakkan situasi tergesa-gesa sebelum insentif PENJANA tamat pada akhir Jun tahun ini.
"Sektor automotif terus menarik perhatian dengan pelancaran model baharu yang pasti mencetuskan minat pengguna dan mewujudkan persaingan sihat untuk Proton dengan jenama lain, namun kami akan terus berhati-hati dalam melangkah ke hadapan bagi mengelakkan ancaman pandemik yang berpotensi menganggu operasi," katanya.
Bulan ini juga menyaksikan pelancaran empat model edisi khas. Proton Persona dan Exora Black Edition serta Proton Saga dan Iriz R3 Limited Edition yang telah diumumkan secara dalam talian pada 18 Feb dan telah menerima sejumlah 1,169 tempahan berbanding jumlah pengeluaran terhad sebanyak 3,500 unit setakat 26 Feb lepas.
Tahun ini, tumpuan Proton adalah ke arah meningkatkan keseluruhan rantaian nilai selepas jualan supaya pelanggan dapat menikmati pengalaman jenama premium selepas membeli kereta mereka.
"Proton mengakui bahawa beberapa aspek perniagaan kumpulan belum dapat mengikuti kejayaan kami baru-baru ini. Kami telah mengalami isu-isu integrasi dan pelanggan yang memerlukan pembaikan selepas kemalangan serta penyelenggaraan berkala telah menghadapi kelewatan.
"Kami sedang menangani isu-isu ini dan berharap dapat menyelesaikannya dalam masa yang singkat tetapi buat masa ini, saya menggesa semua pemilik Proton yang menghadapi kelewatan agar menghubungi talian khidmat pelanggan kami di 1-800-88-8398," katanya lagi.
-- BERNAMA
#Proton #perintah kawalan pergerakan #PKP #PENJANA #Proton Holdings Bhd #jualan kenderaan
;