Penglibatan wanita Malaysia dalam sektor kerja ketiga terendah di rantau Asia Tenggara
Nuradilla Noorazam
Ogos 29, 2016 20:29 MYT
Ogos 29, 2016 20:29 MYT
Penglibatan wanita Malaysia di dalam sektor kerja direkodkan antara yang terendah di rantau Asia Tenggara di belakang Kemboja, Myanmar, Thailand dan Singapura pada kadar 53.6 peratus.
Penyertaan wanita di negara serantau seperti Indonesia dan Filipina pula lebih rendah dengan masing-masing pada kadar 51.8 peratus dan 51.1 peratus penyertaan wanita.
Walaupun kadar penyertaan wanita Malaysia dalam sektor pekerjaan dikatakan rendah berbanding negara-negara di rantau Asia Tenggara yang lain, kadar penglibatan mereka telah meningkat secara konsisten sejak kebelakangan ini.
Ia dikatakan selaras dengan usaha yang diberikan kerajaan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan seperti pengenalan 'flexi hours' dan pemotongan cukai dua kali ganda kepada syarikat yang menawarkan khidmat latihan kepada wanita yang ingin kembali ke sektor pekerjaan.
Sejak 2008, penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan telah meningkat dari 45.7 peratus ke 54.1 peratus pada tahun 2015.
Menurut laporan isi rumah yang diterbitkan Khazanah Research Institute, hanya 5.4 juta wanita bekerja berbanding 10.3 juta wanita dalam negara yang berada dalam lingkungan umur layak bekerja.
Malah, laporan tersebut mendedahkan kadar penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan di negara lebih rendah berbanding lelaki meningkut tahun, umur dan tahap pendidikan.
Perbandingan yang dibuat, kadar penyertaan lelaki berumur 25 hingga 54 dalam sektor pekerjaan di Malaysia hampir mencecah 100 peratus.
Ia adalah trend yang kekal sejak 1995. Namun, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan berada di tahap paling tinggi ketika usia mereka antara 25 sehingga 29 tahun sebelum angka tersebut menurun secara konsisten.
Pada tahun 2014, kadar penyertaan wanita berumur 25 hingga 29 tahun berada di tahap 72.1 peratus sebelum turun 53.9 peratus bagi yang berumur 50 hingga 54 tahun.
Menurut laporan Bank Dunia pada 2012, kadar penyertaan wanita Malaysia dalam sektor pekerjaan berada pada tahap puncak sekali sahaja dalam seumur hidup mereka berbanding wanita di rantau Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan yang mengalami dua kali kenaikan.
Wanita di Jepun dan Korea Selatan juga menunjukkan penurunan dalam penglibatan dalam sektor kerja setelah mereka berkahwin dan melahirkan anak dari umur 25 hingga 29 tahun namun jumlah yang menyertai semula sektor pekerjaan selepas itu meningkat.
Di Malaysia, walaupun peringkat umur wanita mula meninggalkan sektor pekerjaan adalah sama dengan Jepun dan Korea Selatan, mereka tidak bekerja semula selepas memulakan keluarga.
Menurut penyelidikan yang dibuat, lebih 60.5 peratus wanita meninggalkan sektor pekerjaan kerana faktor tanggungjawab domestik.
Ia menunjukkan bahawa halangan utama wanita untuk bekerja adalah tanggungjawab domestik di mana mereka memulakan sebuah keluarga.
Bank Dunia melaporkan bahawa jumlah 'wanita hilang' atau 'absent women' dalam sektor pekerjaan di Malaysia adalah dalam lingkungan 500,000 ke 2.3 juta wanita.
Kadar penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan juga dikatakan tinggi bagi mereka yang mempunyai pendidikan tinggi iaitu pada kadar 87.7 peratus berbanding dengan 49.2 peratus bagi yang mempunyai pendidikan peringkat sekolah sahaja.
Pendidikan tinggi juga dikatakan membantu wanita untuk kekal lebih lama di dalam sektor pekerjaan.
Data menunjukkan bahawa kadar penyertaan wanita berpendidikan tinggi mencapai puncak pada usia 30 sehingga 34 tahun, iaitu tempoh 10 tahun lebih lama berbanding wanita yang tidak punya pendidikan tinggi.
Namun, kadar penyertaan wanita yang mempunya pendidikan tinggi adalah lebih rendah berbanding lelaki dengan jurang semakin tinggi selaras dengan peningkatan umur.
Bagaimanapun, penyertaan sektor pekerjaan bagi lelaki pula menurun apabila mereka mempunyai pendidikan tinggi berbanding sebaliknya.
Ia disebabkan faktor pembelajaran tinggi yang mengambil masa dan menyebabkan mereka lambat menyertai sektor pekerjaan.