Penglibatan dalam BRI perkukuh perkongsian ekonomi Malaysia-China - Tengku Zafrul
Bernama
Julai 15, 2024 21:13 MYT
Julai 15, 2024 21:13 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysia untuk mengesahkan penglibatannya dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menjadikannya antara yang pertama di ASEAN untuk berbuat demikian, telah mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi di antara negara dan China, menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata ia telah mencetuskan projek transformasi yang meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi.
"Sememangnya, komuniti perniagaan Malaysia dan China telah berada di barisan hadapan dalam hubungan dua hala kami," katanya berucap pada pelancaran Forum Perkongsian Kerjasama BRI di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata syarikat-syarikat China telah melabur dengan ketara di Malaysia, daripada projek infrastruktur berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada industri berteknologi tinggi di zon-zon ekonomi khas.
"Pelaburan ini telah mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Begitu juga dengan syarikat-syarikat Malaysia yang telah mencapai kejayaan di China, terutamanya dalam sektor seperti pembinaan, kewangan, hasil pertanian dan pengeluaran makanan halal," kata menteri itu.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kitaran kedua Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (2024-2028) di antara China dan Malaysia bersedia untuk memperdalam lagi hubungan di antara industri negara dalam sektor-sektor utama seperti pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital.
"Program-program ini juga akan menggalakkan kerjasama dalam pembuatan automotif, ekonomi digital, inovasi dan pemula niaga, perkhidmatan kewangan serta penyelidikan dan pembangunan dalam industri pertanian dan utama.
"Inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga memupuk kemajuan teknologi dan inovasi di kedua-dua negara," tambah beliau.
Tengku Zafrul berkata majlis hari ini, yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Asia Tenggara untuk Kemanusiaan (SEARCH), berlangsung ketika Malaysia dan China meraikan satu peristiwa penting iaitu ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
"Sejak lima dekad yang lalu, kedua-dua negara telah memupuk ikatan yang bukan sahaja mengukuhkan hubungan ekonomi dan perniagaan, tetapi juga memperkaya budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat.
"Hari ini kita meraikan pencapaian masa lalu, mengiktiraf peluang semasa, dan menantikan kerjasama masa depan yang lebih hebat," katanya.
Tengku Zafrul berkata China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dengan perdagangan dua hala mencapai RM450.8 bilion pada 2023.
"Hubungan perdagangan yang teguh ini mencerminkan kepercayaan dan visi bersama untuk kemakmuran di antara kedua-dua negara. Hubungan ekonomi kita bukan hanya tentang angka; mereka mewakili manfaat sebenar untuk rakyat kita," katanya.
Tengku Zafrul berkata eksport Malaysia seperti elektrik dan elektronik, barangan perlombongan, kimia dan produk kimia, gas asli cecair, minyak sawit, dan getah sememangnya dialu-alukan oleh China, manakala pelaburan China di Malaysia telah memacu pertumbuhan dalam sektor infrastruktur, teknologi dan pembuatan.
China adalah di antara lima sumber pelaburan asing terbesar ke Malaysia pada 2023 dengan jumlah pelaburan bernilai RM14.5 bilion.
Dari 1980 hingga 2023, sebanyak 497 projek pembuatan dengan penglibatan dari China, bernilai RM74.2 bilion telah dilaksanakan, mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, tambahnya.
-- BERNAMA