Pengiktirafan halal, luaskan pasaran produk Baba’s

Harits Asyraf Hasnan
Februari 28, 2025 14:40 MYT
Baba’s memperoleh pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan ISO 22000 dan HACCP bagi memastikan produk memenuhi standard tertinggi. - Foto Baba's
KUALA LUMPUR: PENGIKTIRAFAN sijil halal ke atas produk Baba’s bukan sahaja meningkatkan kepercayaan pengguna tetapi turut membuka peluang lebih luas bagi syarikat itu meneroka pasaran baharu, kata Ketua Pemasaran Baba Products (M) Sdn Bhd, Azrain Mohamad.
Beliau berkata Baba’s, yang ditubuhkan sejak hampir lima dekad lalu, telah berkembang menjadi jenama rempah utama di Malaysia serta menembusi pasaran antarabangsa dengan mengekalkan kualiti tinggi dan harga berpatutan.
“Produk Baba’s bukan sahaja terkenal dalam kalangan pengguna tempatan tetapi juga mendapat tempat di pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI baru-baru ini.
Mengulas cabaran dalam menerajui pemasaran Baba’s, beliau berkata untuk memastikan kesinambungan jenama dalam industri yang kompetitif memerlukan inovasi berterusan dan pemahaman mendalam terhadap keperluan pasaran.
Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Halal Baba Products, Norshalina Mohd Razali berkata, syarikat itu memperoleh pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 1995 dan sentiasa memastikan pematuhan ketat terhadap piawaian halal.
“Selain sijil halal, Baba’s juga memperoleh pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan ISO 22000 dan HACCP bagi memastikan produk kami memenuhi standard tertinggi,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa proses audit halal melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas bahan mentah, kaedah pemprosesan, serta kebersihan kilang, bagi memastikan semua produk yang dihasilkan memenuhi keperluan syariah.
“Malah, bahan mentah seperti rempah kari diperoleh daripada pembekal yang telah mendapat pengiktirafan halal dan dipantau secara ketat melalui sistem kawalan kualiti kami,” katanya.
Mengulas mengenai inisiatif pemasaran sempena Ramadan, Azrain berkata Baba’s akan melancarkan kempen promosi istimewa serta memperkenalkan program masakan Rasa Ajar Masak yang bakal disiarkan di Astro Prima sepanjang bulan mulia itu.
“Kami berharap program ini dapat memberikan inspirasi kepada pengguna untuk mencuba pelbagai resipi menggunakan rempah Baba’s, sekali gus mengukuhkan hubungan jenama dengan pelanggan setia kami,” katanya.
Pengiktirafan Halal, Luaskan Pasaran Produk BABA’S
#Halal #Baba's #Malaysia
;