Pengiklanan digital beri impak positif dalam pemasaran ketika PKP
Fareez Azman
Januari 13, 2021 22:49 MYT
Januari 13, 2021 22:49 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan iklan digital menerusi televisyen dapat memberi impak positif dalam jualan dan pemasaran sesebuah perniagaan di era norma baharu ketika ini.
Menurut Ketua Jualan Saluran Melayu, Berita & Kerjasama, Astro Media Solutions, Nicholas Teh, beberapa inisiatif telah diwujudkan pihak Astro sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Ia termasuk pengiklanan digital menerusi saluran Astro AWANI. Tujuannya, untuk membantu sektor perniagaan terutamanya pelanggan Astro menikmati pengiklanan secara lebih berkesan dalam norma baharu.
"Kita mempunyai rancangan yang popular dan berita AWANI juga menjadi saluran berita paling ditonton oleh rakyat Malaysia ketika itu, kerana ramai yang mendapatkan perkembangan terkini kes COVID-19 di saluran AWANI. Astro AWANI menjadi barisan hadapan, jadi itu digunakan untuk menarik lebih ramai penonton.
"Ini sesuatu yang kami belajar daripada PKP 1.0 yang dilaksanakan sebelum ini, dan sudah tentu akan dipertingkatkan lagi. Dalam beberapa hari lagi, kami akan membuat pengumuman apa langkah yang akan diambil dalam menghadapi PKP 2.0 ini," katanya.
Tambah Nicholas, selain pengiklanan, industri perfileman negara juga dapat dipacu meskipun ketika PKP dilaksanakan.
Untuk rekod, filem Mael Totey The Movie (MTTM) berjaya mencatatkan kutipan RM7 juta menerusi siaran Astro First.
"Kami menyedari lebih ramai penonton mengikuti pelbagai kandungan Astro ketika PKP dilaksanakan. Mael Totey The Movie (MTM) adalah filem pertama kita berjaya yang mencatatkan kutipan RM7 juta tanpa pawagam.
"Selalunya keuntungan filem itu bergantung ditayangkan pawagam, tetapi filem ini adalah filem pertama tanpa pawagam. Jadi, di situ kami tahu bahawa ramai penonton tertarik dengan kandungan yang kita sediakan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman berdepan PKP 1.0 dalam program webinar Astro AWANI Linc, 'Marketing in the dark, Making your ad-bucks work for you in a crisis' pada Rabu.
Turut serta dalam program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif Mediabrands Malaysia, Bala Pomaleh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Air Asia, Riad Asmat pula berpendapat sektor perniagaan perlu berubah demi memastikan survival perniagaan dalam tempoh akan datang.
Ujarnya, sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini, syarikat penerbangan tambang murah itu menghadapi cabaran besar, terutamanya apabila jadual penerbangan dihentikan sementara.
"Kami berdepan dengan cabaran apabila pengoperasian penerbangan berkurangan dan sempadan negara ditutup.
"Tetapi menerusi transformasi digital, kami kembangkan cabang perniagaan baharu seperti yang ramai tahu, kami mula berjinak dalam perniagaan restoran dan penghantaran makanan.
"Walaupun tiada penerbangan, dengan memperluas kemampuan di bidang lain, ia membawa kepada kejayaan," katanya.
#Astro Awani
#perintah kawalan pergerakan
#penerbangan
#COVID-19
#pandemik
#PKP
#filem
#Malaysia
#Asia
#keselamatan
#Media
#Mael Totey The Movie
#air asia
#Astro
#Mediabrands Malaysia