Pengiklanan bersasar televisyen beri lonjakan baru pasaran, landskap media

Ehsan A Marisah
Jun 15, 2022 18:32 MYT
Astro Malaysia Holdings Bhd menjadi perintis kepada inovasi pengiklanan bersasar televisyen (Addressable Advertising) yang pertama di Asia Tenggara. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Hari ini, “Addressable TV” - inovasi pengiklanan bersasar televisyen dilihat mampu memberikan sinar baharu kepada pasaran selain berupaya melonjak landskap media secara signifikan.
Menyedari perkara itu, syarikat kandungan dan hiburan utama, Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) kini menjadi perintis kepada inovasi pengiklanan televisyen menerusi perkhidmatan pengiklanan bersasar yang pertama di Asia Tenggara.
Mengorak langkah dalam sasaran digital menerusi televisyen dengan penggunaan data pihak pertama, pengiklan dan jenama kini mampu memaparkan iklan terus kepada isi rumah yang menonton program berkaitan.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Shafiq Abdul Jabbar yang turut menyelia data dan pemasaran kumpulan berkata, beliau teruja melihat kombinasi kualiti dan ketercapaian televisyen melalui kekayaan data pihak pertama yang digunakan bagi mencipta segmen penonton yang ideal.
Katanya, ia berpandukan kepada pendapatan, lokasi, jenis dan tabiat pembelian, lantas berupaya mencipta konteks yang amat relevan untuk pengiklan serta iklan yang direka secara peribadi untuk para penonton.
“Dengan peningkatan kemampuan penyasaran data televisyen, Pengiklanan Bersasar Astro mampu berpandukan kepelbagian jenis dan saiz industri serta perniagaan, dan buat pertama kalinya, membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengakses inventori televisyen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Inovasi Pegiklanan Bersasar Televisyen Astro (Addressable Future) di Petaling Jaya, pada Selasa.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mediabrands Malaysia, Bala Pomaleh berkata, pengiklan dan jenama yang memaparkan pelbagai iklan akan dapat mencapai sasaran penonton diinginkan dengan lebih baik dan spesifik berdasarkan segmen tertentu.
“Melalui inovasi ini, kita akan dapat melihat lebih ramai pengiklan baharu yang berminat, kerana ramai pengiklan di luar sana yang tidak semestinya ingin mengiklankan iklan mereka secara nasional.
“Namun, ia mahu disasarkan secara geografi misalnya, atau hanya mahu mencapai khalayak khusus atau tertentu sahaja. Ini akan memberikan mereka peluang baharu yang hebat,” ujarnya.
BACA: Astro perkenal pengiklanan bersasar kepada PKS
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mindshare dan m/SIX Malaysia, Sheila Shanmugan menjelaskan, inovasi tersebut bakal mengubah perspektif dan ruang untuk televisyen berkembang di masa depan selain membantu perniagaan berkembang meliputi syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Pengiklan sentiasa teruja untuk meneroka jalan baharu, terutamanya jika ia memberi dan membuahkan hasil berbeza. Bagi Jenama pula, mereka akan sentiasa mencari peluang tersebut.
“Walaupun ia akan sentiasa diuji dan dipelajari pada awalnya, akhirnya pasti akan berjaya. Jadi, cara format perancangan dan membeli untuk media akan berubah dan memerlukan agensi untuk mengemukakan cadangan dan pelanggan menerima idea itu,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong pula berpandangan, inovasi tersebut mampu memanfaatkan jenama, nilai karya dan memberi ruang kepada perniagaan baru berkembang menggunakan medium televisyen pada tatacara terbaik.
“Perkembangan daripada Astro ini sangat mengujakan dan kami teruja untuk komuniti PKS, jenama yang baru berkembang di negara ini.
“Ia membolehkan kami benar-benar mendapat peluang untuk berhubung dengan orang ramai dan memahami mereka dengan lebih baik dan diharapkan mempunyai kesesuaian untuk pelbagai perkara.
“Jadi, kami sangat teruja untuk inovasi ini dan berharap dapat bekerjasama dengan Astro,” ujarnya.
Terdahulu, Astro memulakan inovasi pengiklanan bersasar televisyen (Addressable Advertising) melalui pelaksanakan menerusi Video On Demand di Astro GO serta di Ultra dan Ulti Box sejak November 2021, manakala untuk Linear dilancarkan secara berperingkat bermula Jun ini.
#Astro #Addressable TV #pengiklanan bersasar #PKS
;