Pengiklanan bersasar jadi pemangkin prospek pertumbuhan Astro, HLIB kekal saranan 'beli'
Dagang News
Julai 25, 2022 11:27 MYT
Julai 25, 2022 11:27 MYT
KUALA LUMPUR: Prospek jangka panjang Astro Malaysia Holdings Bhd. semakin baik terutama dengan pelancaran pengiklanan bersasar baru-baru ini bersama perkhidmatan jalur lebar gentiannya sebagai produk kendiri pada Mei 2022.
Ini membolehkan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Astro dengan harga sasaran pada RM1.34 sesaham.
Menurut firma itu, dengan aliran hasil yang pelbagai dan penyelesaian pengiklanan yang lebih cekap kepada pelanggan, membolehkan kumpulan meningkatkan kelebihan daya saingnya.
Katanya, sejak pengiklanan bersasar dilancarkan pada Disember 2021, hasil awal daripada kajian jenama yang dijalankan menunjukkan peningkatan umum merentasi pengiklan yang berbeza dengan beberapa segmen pelanggan tertentu menunjukkan peningkatan yang ketara dalam penerimaan khalayak (iaitu pengiktirafan jenama, kecenderungan untuk membeli).
"Ini adalah satu kelebihan untuk Astro kerana ia hanya dilakukan melalui saluran video on demand (VOD) (pengiklanan bersasar dilancarkan di televisyen linear pada Jun 2022) tidak termasuk saluran pengiklanannya yang lain seperti televisyen linear, radio, digital serta acara langsung.
"Dengan menggabungkan semua saluran pengiklanannya bersama-sama dengan pengiklanan yang disasarkan, skala dan jangkauan yang tersedia untuk pengiklan dijangka meningkat dengan ketara.
"Walaupun perbelanjaan iklan semasa semakin menuju ke arah digital, namun, kami berpendapat, dengan ini, lebih ramai pengiklan akan kembali ke saluran tradisional untuk pengiklanan (televisyen linear) kerana mereka juga boleh menyasarkan khalayak khususnya kini kepada TV," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 14 Jun lalu, Astro menjadi perintis kepada inovasi pengiklanan televisyen menerusi perkhidmatan pengiklanan bersasar yang pertama di Asia Tenggara.
Ia membolehkan pengiklan dan jenama memaparkan pelbagai iklan ke pelbagai isi rumah yang menonton program yang sama.
Selain itu, Astro telah melancarkan perkhidmatan jalur lebar gentiannya pada Mac 2022 bersama kandungan televisyen sebagai satu pakej, dengan jalur lebar gentian menjadi produk kendiri pada Mei 2022.
HLIB melihat perkembangan itu secara positif kerana ia mewakili aliran pendapatan baharu untuk kumpulan, sekali gus berupaya menarik pelanggan kandungan Astro sedia ada untuk menggunakan perkhidmatan jalur lebar gentiannya.
Ini kerana katanya, ia bukan sahaja akan memberi kemudahan dalam satu bil, tetapi juga penjimatan kos tambahan daripada pakej tersebut.
"Hasilnya, ia akan meningkatkan prospek pendapatan masa depan Astro kerana perkhidmatan kandungan dan jalur lebar akan memacu pertumbuhan antara satu sama lain," jelasnya.
Setakat 10.37 pagi ini, harga saham Astro kekal tidak berubah pada 89 sen dengan 269,000 saham diniagakan. - DagangNews.com