Pengguna e-dagang di Asia Tenggara dijangka meningkat ke 413 juta pada 2025
Hafizi Rosli
September 1, 2022 15:20 MYT
September 1, 2022 15:20 MYT
SINGAPURA: Jumlah pengguna e-dagang di rantau Asia Tenggara dijangka meningkat ke 413 juta pada 2025 dengan kenaikan sebanyak enam peratus pada ketika ini.
Dalam satu laporan kajian yang dijalankan platform pasaran perkidmatan dagangan elektronik (e-dagang), Lazada, peningkatan daripada 57 peratus kepada 63 peratus itu akan mengukuhkan lagi platform berkenaan sebagai enjin carian baharu.
Laporan kajian mengenai tabiat pembeli di Asia Tenggara itu turut menjelaskan, selebihnya masih menggunakan enjin carian sedia ada dan media sosial bagi mencari dan membuat pembelian mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada, James Dong, tabiat dan pemikiran pengguna ini akan menggalakkan lagi pertumbuhan platform e-dagang dengan pelbagai pilihan dan tawaran.
“Perubahan tabiat dan pemikiran ini dilihat semakin jelas sejak dua tahun lalu yang memberi peluang kepada pengguna untuk mencari barangan yang berkualiti, asli dan pengalaman yang baik.
“Untuk mencapai pertumbuhan yang mampan, bertahan lama, kami komited memastikan pengalaman pengguna pada tahap yang baik termasuk memperkenalkan ciri-ciri baharu dan mudah pengguna,” katanya ketika berucap di Lazada Brands Future Forum (BFF) 2022 di Resort World Sentosa, di sini, pada Khamis.
Kajian berkenaan dijalankan ke atas 38,138 pengguna e-dagang di enam negara Asia Tenggara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Dong juga yakin pengguna akan terus menggunakan platform e-dagang untuk membuat pembelian, di mana
laporan menyatakan lapan daripada 10 pengguna meneruskan pembelian secara dalam talian kerana ia mudah dan selesa dengan tawaran menarik oleh platform e-dagang.
Perubahan tabiat ini, kata beliau, mendorong kepada pentingnya solusi pemasaran e-dagang dan pendigitalan perniagaan untuk kekal berdaya tahan dan relevan di pasaran.
Ia menuntut langkah dan strategi untuk untuk membantu memudahkan urusan pencarian serta pembelian barangan di platform Lazada.
Katanya, semestinya peniaga dan jenama juga akan mendapat manfaat daripada platform ini.
“Dan peniaga dan jenama juga mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan dengan Lazada serta berhubung dengan potensi pembeli yang baik.
“Dengan mencipta ekosistem terbuka melalui kerjasama dengan rakan niaga seperti peruncitan, logistik dan pembayaran, ia membantu jenama, penjual untuk mengembangkan perniagaan dalam dunia digital,” jelasnya.
Lazada kini menjangkau usia 10 tahun semakin mengukuh pasaranya di enam negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.