Penggiat industri seni harap kerajaan terus beri sokongan
Kenyataan Media
Oktober 27, 2021 09:06 MYT
Oktober 27, 2021 09:06 MYT
PETALING JAYA: Penggiat industri kreatif berharap Kerajaan Malaysia akan terus memberi sokongan sepanjang fasa pemulihan melalui bantuan kewangan, insentif cukai serta peluang pekerjaan dan penyertaan, yang diletakkan sebagai tiga keutamaan mereka menurut Kumpulan MyCreative (MyCreative).
Ketika ditanya berkenaan keutamaan dalam bAJET2022 untuk mendukung industri kreatif, 81.6 peratus menyenaraikan bantuan pembiayaan kerajaan sebagai keutamaan mereka.
Antara keutamaan lain adalah peluang pekerjaan baru dengan maklumbalas 70.9 peratus dan insentif cukai dengan 68.8 peratus.
Dapatan berdasarkan maklum balas libat urus dengan penggiat, usahawan dan perniagaan dalam industri, selari dengan Kenyataan Pra-Bajet(PBS) Kementerian Kewangan (KKM) menterjemahkan komitmen Bajet 2022 untuk memastikan tiada yang ketinggalan dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan, sebagai pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan memacu pertumbuhan ekonomi, keterangkuman dan kemampanan dalam jangka sederhana.
Junady Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative berkata, “Penglibatan dan dapatan ini membantu kita memahami harapan dan keutamaan di samping keprihatinan dan keperitan peserta industri kreatif.
Maklumat yang diperoleh ini akan membolehkan kami memperhalusi pendekatan kami dan menyusun langkah bersasar untuk menangani keperluan industri kreatif untuk pulih dari pandemik ini.
"Kami percaya pada potensi Industri Kreatif untuk menjadi penyumbang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami dan akan berusaha untuk merealisasikan hasrat Kerajaan untuk industri ini berkembang pada 3.6 peratus setahun dan menyumbang RM31.9 bilion kepada KDNK menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam RMK-12,” tambah Junady.
Industri Kreatif (atau ‘Ekonomi Jingga’) telah dikenal pasti sebagai salah satu Industri Strategik dan Berimpak Tinggi untuk memangkin pertumbuhan ekonomi negara di bawah RMK12 (2021-2025).
Ke arah mencapai aspirasi RMK12 dan menyokong objektif Bajet 2022, MyCreative percaya strategi 2 serampang perlu digunakan:
- Inisiatif Recovery (pemulihan) untuk melindungi pertumbuhan industri kreatif dan pemulihan organik serta memastikan penggiat industri disokong melalui bantuan pembiayaan dan insentif cukai;
- Usaha Resilience & Reform (daya tahan dan pembaharuan) untuk mengukuhkan semula industri kreatif melalui inisiatif transformasi yang akan dimulakan (Resilience), serta meletakkan asas dalam pertumbuhan mampan industri kreatif (Reform).
Pengerusi MyCreative Noor Azmi Mat Said mengulas, “MyCreative komited untuk memenuhi mandatnya untuk melaksanakan langkah-langkah rangsangan dan pertumbuhan untuk mempercepatkan pertumbuhan Ekonomi Jingga kita, melalui pembangunan ekosistem yang komprehensif, peningkatan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri serta dengan mengukuhkan pembangunan dan promosi produk, untuk merealisasikan cita-cita Malaysia menjadi pengeksport produk dan perkhidmatan industri kreatif.”
Selain daripada mengumpul maklum balas tentang bentuk sokongan yang diharapkan, dapatan tersebut juga mengenal pasti kebimbangan utama dalam kalangan perniagaan kreatif dalam memastikan kesinambungan perniagaan.
Ini termasuk :
- Perubahan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pelaksanaan aktiviti sosial dan perniagaan (62.4 peratus)
- Kos operasi perniagaan termasuk sewa, gaji pekerja dan utiliti (60.9 peratus)
- Ketidaktentuan dalam meneruskan aktiviti perniagaan (57.4 peratus)
Memandangkan lebih banyak negeri beralih ke Fasa Tiga dan Fasa Empat Pelan Pemulihan Nasional (PPN), MyCreative percaya kebimbangan ini akan ditangani secara menyeluruh di mana kebanyakan aktiviti dalam Ekonomi Jingga akan dibenarkan dengan prosedur yang lebih baik dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Dapatan seterusnya mendedahkan bahawa pengurangan kos secara keseluruhan, suntikan modal operasi perniagaan daripada pemilik dan pemasaran melalui pengiklanan digital dan/atau media sosial adalah langkah paling kerap diambil oleh perniagaan kreatif untuk terus bertahan semasa pandemik.
MyCreative adalah syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan untuk memacu industri kreatif Malaysia melalui inisiatif yang disusun secara strategik dan bantuan pembiayaan inovatif dalam bentuk pinjaman atau pelaburan ekuiti.
Diperbadankan pada 2012, ia merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), melaporkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada Mac 2020, MyCreative telah
mengagihkan sejumlah RM 55.2 juta melalui siri bantuan pembiayaan dan pinjaman yang memanfaatkan lebih 16,000 perniagaan dan penggiat kreatif untuk membantu mereka bertahan mendepani cabaran pandemik tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai MyCreative, sila layari www.mycreative.com.my.