Penggantungan CEO Kumpulan MARACorp bukan keputusan politik

Najib Aroff
Disember 7, 2020 16:56 MYT
Suhaili (kanan) berkata MARACorp adalah syarikat milik kerajaan dan segala proses tindakan tidak dilakukan secara sambil lewa sebaliknya melibatkan peruntukan peraturan sedia ada. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Keputusan mengantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation (MARACorp), Datuk Badlisyah Abdul Ghani bukan tindakan politik, tegas Pengarah Eksekutif MARACorp, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
"Tidak ada kena-mengena isu politik. Kalau kita hendak buang dia (Badlisyah), kita tidak akan berusaha mencari dia dari awal.
"Mengapa kita mahu membuang dia, mesti ada sebab. Bagaimana hendak meyakinkan Lembaga Pengarah untuk gantung (tugas) dia (jika tiada sebab).
"Tiada niat aniaya sesiapa," katanya ketika menghubungi Astro AWANI.
BACA: CEO Kumpulan MARACorp digantung tugas?
Suhaili berkata keputusan mengantung tugas Badlisyah juga dicapai sebulat suara oleh Lembaga Pengarah termasuk Pengerusi MARACorp, Datuk Dr Syed Muhamad Syed Kadir sementara menanti siasatan.
"Saya tidak boleh beritahu punca siasatan disiplin (yang dihadapi Badlisyah) kerana ia akan menganggu proses Lembaga Disiplin MARA.
"Lembaga Disiplin akan mengumumkan sama ada beliau didapati bersalah melanggar peraturan MARACorp atau tidak.
"Ini bukan peraturan yang kita cipta, ini peraturan disediakan Majlis Amanah MARA," katanya.
Suhaili berkata jika Badlisyah didapati tidak melanggar apa-apa peraturan, beliau boleh kembali memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARACorp.
"Saya tidak tahu berapa lama siasatan akan dijalankan dan ia bukan keputusan suka-suka," katanya.
Suhaili berkata MARACorp adalah syarikat milik kerajaan dan segala proses tindakan tidak dilakukan secara sambil lewa sebaliknya melibatkan peruntukan peraturan sedia ada.
Astro AWANI hari ini melaporkan, difahamkan Badlisyah yang dilantik pada 3 September lalu digantung tugas pada November 2020 oleh Lembaga Pengarah MARACorp sementara menanti 'siasatan'.
#MARA #MARACorp #Datuk Suhaili Abdul Rahman #Datuk Badlisyah Abdul Ghani #CIMB ISLAMIC
;