Penggabungan SME Bank, BPMB, EXIM Bank dikhuatiri gugat pertumbuhan PMKS - PPPMM
Astro Awani
Ogos 22, 2024 14:05 MYT
Ogos 22, 2024 14:05 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank berisiko untuk melenyapkan platform pembiayaan, sekali gus membantutkan pertumbuhan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM), Mohd Farhan Basheer dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ketiga-tiga bank tersebut menyediakan pembiayaan kepada pelbagai kluster perniagaan yang berbeza.
Beliau yang juga Ahli Majlis Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, PPPMM bimbang bank baharu tidak lagi fokus untuk memayungi kesemua kluster tersebut jika penggabungan berlaku.
“Desakan ini berasaskan kepada pengiktirafan kerajaan dan industri terhadap PMKS yang diakui sebagai antara nadi ekonomi negara terutama, melibatkan sumbangan sektor itu kepada ekonomi negara berjumlah RM613.1 bilion pada 2023 selain nilai eksport dan peluang pekerjaan disediakan kepada rakyat Malaysia.
“Jadi kami amat bimbang, penggabungan itu akan menghapuskan mandat dan objektif ketiga-tiga bank asal yang memberi fokus terhadap pembiayaan kredit serta pembangunan PMKS kerana penubuhan bank baharu kemungkinan besar lebih berorientasikan keuntungan dengan hanya mengutamakan pembiayaan bagi perniagaan atau projek besar,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu, mengumumkan institusi kewangan pembangunan (DFI) akan distruktur semula melalui penggabungan BPMB, SME Bank dan EXIM Bank.
Namun Mohd Farhan berpandangan, senario itu boleh membantutkan operasi sekali gus prestasi serta sumbangan PMKS terhadap ekonomi negara malah sektor tersebut terdedah kepada kemungkinan gulung tikar kerana sukar mendapatkan pembiayaan kredit.
“Dari perspektif korporat, PPPMM mengakui penggabungan tersebut antara lain akan menyelamatkan sejumlah wang kerajaan dan meningkatkan keuntungan selain menampilkan sebuah bank lebih kukuh.
“Namun dari sudut lain, kami bimbang bank baharu mungkin mengabaikan nasib PMKS sehingga mereka kehilangan platform untuk mendapatkan pembiayaan kredit yang sebahagiannya lengkap dengan pakej latihan dan bimbingan perniagaan,” katanya lagi.
Tambah Mohd Farhan, ia dikhuatiri akan membantutkan perkembangan PMKS negara yang ketika ini sedang giat melalui peralihan dan pertumbuhan ke tahap lebih tinggi.
Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan sama ada bank baharu yang dicadangkan itu akan membantu menyelamatkan PMKS bermasalah atau mempunyai rekod kurang baik yang mana peranan itu selama ini dimainkan Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank.
“Contohnya, PPPMM amat berbangga dengan prestasi SME Bank yang telah membantu kira-kira 25,000 syarikat PMKS dengan meluluskan pembiayaan mencecah RM45 bilion serta melatih dan membimbing lebih 80,000 usahawan setakat ini.
“Seterusnya, langkah penggabungan ketiga-tiga bank ini pasti melibatkan penyelarasan jawatan dan tugas sehingga sebahagian kakitangan terpaksa diberhentikan sehingga memberi kesan negatif terhadap sosioekonomi untuk tempoh jangka panjang walaupun mereka diberi pampasan,” katanya lagi.
Justeru Mohd Farhan berkata, PPPMM turut menyokong ketegasan DPMM yang mahu kerajaan mengkaji semula cadangan penggabungan Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank, kerana kesan negatif terhadap syarikat PMKS Bumiputera serta komuniti perniagaan Melayu secara keseluruhan di negara ini.
Berdasarkan rasional yang kritikal dan kesan negatif terhadap PMKS, beliau berkata, PPPMM memohon kerajaan membatalkan cadangan penggabungan tersebut.
Sebaliknya, kata beliau lagi, ketiga-tiga bank itu perlu diperkasakan lagi termasuk menyalurkan peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan Negara 2025 demi memacu PMKS untuk terus unggul sebagai nadi sosioekonomi negara.