Penggabungan MAS, AirAsia X tidak berasas & spekulatif - Khazanah

Bernama
Julai 24, 2014 12:36 MYT
Khazanah National
Laporan media mengenai kemungkinan penggabungan antara Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia X Bhd adalah tidak berasas dan spekulatif, kata Khazanah Nasional Bhd.
Dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah turut mengingatkan serta menggesa semua pihak supaya tidak membuat spekulasi mengenai penyusunan semula MAS, termasuk berkaitan penggabungan, penyah-senaraian dan sebarang penyelesaian penyusunan semula yang lain.
Dana pelaburan kerajaan itu merujuk kepada laporan media baru-baru ini mengenai penstrukturan semula MAS.
"Kajian semula berkaitan semua pilihan penyusunan semula kini sedang dijalankan dan dinilai," kata Khazanah.
Keputusan berkaitan kajian semula ini, kata Khazanah, akan dilakukan selepas pertimbangan yang sewajarnya dibuat serta setelah memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan termasuk daripada pemegang saham khas, Menteri Kewangan Diperbadankan.
"Hasilnya akan diumumkan dalam tempoh masa yang telah dinyatakan sebelum ini," katanya.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine