Pengesahan Secure2u Maybank dipindahkan ke aplikasi MAE berkuat kuasa 1 Julai
Bernama
Jun 28, 2023 11:44 MYT
Jun 28, 2023 11:44 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pengesahan Secure2u Maybank akan dipindahkan ke Aplikasi MAE bermula 1 Julai ini untuk memastikan pengalaman perbankan yang lebih selamat untuk pelanggan, kata Malayan Banking Bhd (Maybank).
Menurutnya pemindahan ke Secure2u telah selesai untuk perkhidmatan perbankan dalam talian termasuk pembayaran bil dan transaksi DuitNow, FPX dan IBG dalam usaha memperkukuhkan lagi ekosistem perbankan dalam talian dan melindungi pelanggan.
Dalam kenyataan hari ini, Maybank memaklumkan sedia memberikan sokongan penuh di samping telah melengkapkan pelaksanaan langkah-langkah utama untuk memerangi penipuan kewangan, seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Khairussaleh Ramli berkata pelanggan adalah keutamaan bank itu, sekali gus mengambil serius terhadap keselamatan platform perbankan dalam talian.
"Kami telah melaksanakan beberapa inisiatif proaktif untuk membendung peningkatan penipuan dan melindungi akaun pelanggan kami, seperti membenarkan hanya satu akses Maybank2u setiap peranti pada Aplikasi MAE sejak dilancarkan pada Oktober 2020," katanya.
Maybank turut mengingatkan pelanggan untuk sentiasa melindungi maklumat perbankan dalam talian dan tidak berkongsi kata laluan dengan rakan atau keluarga.
Pelanggan juga diingatkan untuk berwaspada dan mengamalkan etika perbankan dalam talian yang baik antaranya mengelakkan pemasangan atau memuat turun aplikasi/fail Android Package Kit (APK) dan berwaspada jika diminta untuk memuat turun fail yang tidak serasi dengan peranti yang digunakan, contohnya peranti Apple diminta untuk memuat turun fail APK.
Selain itu, mereka juga perlu mengelakkan pengklikan kepada pautan mencurigakan yang dihantar melalui aplikasi pesanan seperti SMS, WhatsApp, Messenger atau perkhidmatan serupa yang lain, katanya.
Pelanggan boleh menghubungi talian hotline Perkhidmatan Pelanggan Kumpulan Maybank di mgcc@maybank.com.my atau 1-300-88-6688 untuk makluman lanjut berhubung penggunaan Secure2u di Aplikasi MAE.
Untuk memuat turun aplikasi MAE pula, layari www.maybank2u.com.my/MAE atau taip masuk' Aplikasi MAE' di Apple AppStore atau Google PlayStore.
-- BERNAMA