Pengerusi Kumpulan Low Yat meninggal dunia

Bernama
Mei 8, 2021 15:59 MYT
Pengebumian Low dijangka akan diadakan pada Rabu ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kumpulan Low Yat Tan Sri Low Yow Chuan meninggal dunia pada Sabtu ketika berusia 88 tahun.
Menurut laporan berita, seorang daripada anggota keluarganya dipetik sebagai berkata pengebumian Low akan diadakan pada Rabu ini (12 Mei).
Kumpulan itu merupakan satu daripada kumpulan milik persendirian terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai perniagaan termasuk pembangunan hartanah dan runcit.
"Diketuai pengerusinya Tan Sri Low Yow Chuan sejak 1971, kumpulan ini telah melebarkan sayapnya daripada sebuah syarikat pembinaan bermula pada 1940," menurut kumpulan itu.
Sebagai pengerusi dan pengarah urusan Kumpulan Low Yat, Low telah mengembangkan portfolio projek dan perniagaan kumpulan itu.
"Di bawah bimbingan dan kepimpinannya, portfolio projek besar dalam kumpulan ini telah dipertingkatkan. Beliau juga telah mencapai satu lagi kejayaan penting dalam kumpulan ini menerusi sumbangannya yang meluas dalam menggalakkan pertumbuhan pelancongan di Kuala Lumpur," menurut kumpulan itu.
-- BERNAMA
#Pengerusi Kumpulan Low Yat #Tan Sri Low Yow Chuan #meninggal dunia