Pengerusi ASEAN: Malaysia berpeluang tingkat kerjasama sektor takaful, takaful semula
Bernama
November 8, 2024 05:15 MYT
November 8, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia, yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan berpeluang memajukan kerjasama serantau dalam sektor kritikal termasuk dalam takaful dan takaful semula, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Beliau berkata, Malaysia bersedia mengetuai usaha kerjasama itu dan mendorong inisiatif yang mampan menerusi penyepaduan serantau dalam takaful dan takaful semula, yang memberi manfaat pembangunan jangka panjang kepada komuniti di seluruh Asia Tenggara dan rantau ini.
"Saya berharap agar industri takaful mengambil peluang ini dan menyusun strategi untuk memaksimumkan manfaat peluang yang unik ini," katanya pada pelancaran Hijrah27 Persatuan Takaful Malaysia (MTA), di sini, pada Jumaat.
Hijrah27 MTA, satu pelan tranformasi strategik yang mengubah landskap takaful sambil mengukuhkan kepimpinan negara dalam kewangan patuh syariah.
Pelan itu menangani 19 cabaran utama merangkumi kesedaran, pengedaran, digital, daya saing produk, bakat dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus, yang dikenal pasti melalui penglibatan dengan pihak berkepentingan industri dan pembuat keputusan.
Hijrah27 juga sejajar dengan misi MTA untuk mencapai matlamat berpandukan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2026 dan rangka kerja pengantaraan berasaskan nilai industri untuk takaful (VBIT).
Pada majlis yang sama, MTA meraikan ulang tahun ke-40 industri takaful di Malaysia.
Sementara itu, Adnan Zaylani berkata, pasaran takaful telah berkembang dengan pesat, dengan saiz sumbangan takaful hampir tiga kali ganda sepanjang dekad yang lepas dan kini telah merangkumi 24.7 peratus daripada bahagian pasaran insurans dan takaful.
Beliau berkata, industri itu kini mewujudkan pemain yang menyediakan pelbagai penyelesaian untuk memenuhi keperluan isi rumah dan perniagaan.
"Pada 2023, jumlah sumbangan bersih meningkat kepada RM17.3 bilion, naik enam peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Walaupun menghadapi masalah dan ketidaktentuan global, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan peningkatan yang menggalakkan dalam momentum ekonomi.
Beliau berkata, berikutan separuh pertama 2024 yang kukuh, pertumbuhan setahun penuh kini dijangka berada di sekitar hujung atas julat ramalan empat hingga lima peratus, dengan prestasi berterusan pada 2025.
"Dengan prospek pertumbuhan ini dan pembaharuan struktur kerajaan yang berterusan, rasionalisasi subsidi dan penambahbaikan dalam perlindungan sosial, terdapat peluang besar untuk industri takaful berkembang dan memberikan perubahan yang bermakna," katanya. - BERNAMA