Pengeluaran sawit Malaysia dijangka lepasi 19 juta tan tahun depan - Penganalisis

Bernama
Ogos 23, 2024 16:00 MYT
Pengeluaran sawit kini berada dalam kitaran tinggi dan berkemungkinan memuncak antara Ogos dan Oktober tahun ini, mengekalkan harga di bawah tekanan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengeluaran sawit Malaysia dijangka melepasi 19 juta tan pada 2025 sekiranya fenomena La Nina yang kuat melanda, kata seorang penganalisis.
Penganalisis kanan Fastmarket Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata pengeluaran sawit kini berada dalam kitaran tinggi dan berkemungkinan memuncak antara Ogos dan Oktober tahun ini, mengekalkan harga di bawah tekanan.
"Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tidak berubah antara RM3,700 dan RM3,900 satu tan berikutan pengeluaran akan menjadi pemacu utama harga sepanjang tahun ini," kata Sathia pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur di Kuching, Khamis.
Mengulas mengenai pasaran MSM Malaysia dari Januari hingga Ogos tahun ini, beliau berkata komoditi itu menunjukkan peningkatan pengeluaran yang mengagumkan, walaupun ia tidak sekata. Eksport meningkat tetapi bukan ke China, katanya.
Beliau berkata tiada gangguan akibat cuaca tetapi beberapa ladang melaporkan pengeluaran yang lebih rendah susulan fenomena El Nino, di samping levi dan cukai yang tinggi di Indonesia memberi manfaat kepada Malaysia.
Minyak sawit juga memulihkan daya saingnya berbanding minyak soya, katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #minyak sawit #pengeluaran sawit #La nina
;