Pengeluaran RM10,000 KWSP beri impak pelaburan jangka pendek
Astro Awani
Mac 21, 2022 14:11 MYT
Mac 21, 2022 14:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pengeluaran Khas RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal memberi kesan jangka masa pendek kepada kemampuan pelaburan institusi tersebut.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Shahar Abdullah berkata KWSP akan mengimbangi portfolio bagi mengatasi kesan prestasi pelaburannya.
Katanya, KWSP juga akan memastikan dana persaraan seramai 6.3 juta ahlinya terjamin.
"Keputusan Kerajaan untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 secara one-off akan memanfaatkan seramai 6.3 juta ahli.
"Ini bermakna sebanyak RM63 bilion akan disalurkan dan sudah pasti kuasa membeli rakyat akan meningkat serta akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
"Bagaimanapun penyediaan nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion akan memberi kesan terhadap kemampuan pelaburan KWSP dalam jangka masa pendek.
"Namun demikian, KWSP akan mengimbangi semula portfolio bagi mengurangkan kesan kepada prestasi pelaburan dan KWSP sentiasa komited untuk memastikan dana persaraan ahlinya terjamin," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai kesan pengeluaran khas KWSP yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.