Pengeluaran petrokimia 2012 China meningkat 12.9 peratus
Bernama
Februari 2, 2013 20:35 MYT
Februari 2, 2013 20:35 MYT
Pengeluaran industri petrokimia China meningkat 12.9 peratus tahun ke tahun kepada 10.86 trilion yuan (US$1.73 trilion) pada 2012, demikian menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pemulihan Negara (NDRC) China.
Keuntungan keseluruhan industri itu turun 9.4 peratus kepada 324.9 bilion yuan (US$51.64 bilion) bagi tempoh 11 bulan pertama 2012, demikian menurut perancang utama ekonomi negara itu di dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Xinhua.
Kadar pertumbuhan pengeluaran industri itu turun berasaskan bulan ke bulan pada separuh pertama 2012 berikutan permintaan pengguna China dan negara lain yang rendah.
Pada separuh kedua 2012, pertumbuhan meningkat dengan kukuh berikutan pengenalan dasar propertumbuhan kerajaan, katanya.
Sebelum itu, Biro Perangkaan China menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun meningkat 7.8 peratus pada 2012, yang merupakan kadar pertumbuhan paling perlahan sejak 1999.
Bagaimana pun, pertumbuhan itu meningkat kepada 7.9 peratus pada suku keempat, yang mengakhiri kemelesetan sebanyak tujuh sukuan.