Pengeluaran Perodua Myvi cecah sejuta unit
Bernama
Jun 13, 2017 07:00 MYT
Jun 13, 2017 07:00 MYT
Perodua Myvi yang merupakan model ikonik Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sejak diperkenalkan pada 2005, melakar detik bermakna apabila pengeluarannya melepasi sejuta unit.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata angka itu dicapai pada hujung minggu lalu, sekali gus membolehkan Myvi kekal sebagai kereta paling laris di Malaysia.
"Kereta Perodua Myvi telah menetapkan standard baharu dari segi penawaran produk dan jangkaan pelanggan. Ia turut menjadi penanda aras bagi kesemua model akan datang kami.
"Bagi meraikan detik istimewa itu, Perodua turut mengadakan acara khas di kilang pengeluaran di Sungai Choh, Rawang," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Aminar berkata bagi tempoh lima bulan pertama 2017, Perodua berjaya mencatat jualan sebanyak 81,900 unit kenderaan iaitu meningkat 5.9 peratus berbanding 77,300 unit pada tempoh sama pada 2016.
"Kami menjangkakan jumlah jualan industri bagi lima bulan pertama ini sekitar 233,700 unit. Berdasarkan maklumat ini, bahagian pasaran kami pada masa ini adalah 35 peratus.
"Kumpulan ini juga yakin dapat mencapai sasaran jualan sebanyak 202,000 bagi tahun ini biarpun dalam persekitaran pasaran yang mencabar," katanya.
Myvi dieksport ke Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal sejak 2006. - BERNAMA
#Aminar Rashid Salleh
#erusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd
#kereta
#paling laris
#pengeluaran
#Perodua Myvi
#sejuta unit