PADA 8 Februari, unit OMODA 5 pertama dikeluarkan dari kilang pengeluaran ibu pejabat Chery di Wuhu, wilayah Anhui, China. OMODA merupakan siri produk global baharu Chery, mewakili pandangan dan pemikiran baharu syarikat mengenai globalisasi. OMODA 5 adalah model global pertama di bawah siri ini dan produk pertama di bawah era Chery 4.0.

Pemimpin syarikat termasuk Yin Tongyue, Zhang Ping, Li Lizhong, Gao Xinhua, Jia Yaquan, Zhang Guibing, Jin Yibo, Xu Youzhong dan Huang Zhaogen hadir di majlis line-off OMODA 5 pada hari tersebut.

Dalam ucapannya, Pengerusi Yin Tongyue berkata bahawa pasukan projek, yang diketuai oleh pengurus projek dan penolong pengurus besar syarikat, Dr Xu Youzhong, menyampaikan pencapaian hebat sempena penyambungan semula operasi selepas cuti Tahun Baharu Cina. OMODA 5 adalah model penting bagi Chery kerana ia merupakan model global pertama syarikat yang dibangunkan berdasarkan permintaan antarabangsa, dan produk penting bagi memasuki pasaran Eropah dan pasaran pemanduan kanan.

Beliau berharap OMODA 5 akan menetapkan piawaian baharu bagi Chery dari segi kepuasan pelanggan, daya saing, pemikiran digital, pengeluaran dan kualiti, sambil terus meningkatkan inovasi perniagaan dan membuahkan hasil baik di peringkat domestik dan global.

Timbalan pengurus besar syarikat Gao Xinhua berkata bahawa OMODA 5 telah dibangunkan dalam tempoh 18 bulan untuk menjadi produk global. Sejak penampilan pertamanya di Pameran Auto Guangzhou 2021, model tersebut telah menerima maklum balas yang menggalakkan di China serta luar negara. Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) kendiri yang mendalam, OMODA 5 telah direka untuk memenuhi piawaian global melalui platform global, mencerminkan idea baharu syarikat.

Timbalan pengurus besar syarikat Jia Yaquan dan Zhang Guibing turut berkata bahawa pasukan pemasaran optimis mengenai pasaran antarabangsa dan domestik, mengambil kira kepentingan dan kelebihan OMODA 5.

Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) kendiri yang mendalam, OMODA 5 telah direka untuk memenuhi piawaian global melalui platform global, mencerminkan idea baharu syarikat. - Foto Chery Malaysia

Menurut penolong pengurus besar syarikat Dr Xu Youzhong, OMODA 5 mewakili pandangan dan pemikiran baharu Chery mengenai globalisasi, sambil mencapai tahap baharu dalam kuasa, teknologi dan aspek lain untuk menyasarkan pengguna muda dalam kumpulan umur 25-30 tahun.

Rusia akan menjadi destinasi antarabangsa pertama OMODA 5, diikuti oleh Kesatuan Eropah, Australia, Malaysia serta pasaran lain di dunia.