Pengeluaran minyak sawit mampan: MPOB meterai MOU di Belanda
Bernama
Februari 15, 2020 04:29 MYT
Februari 15, 2020 04:29 MYT
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua organisasi untuk mempercepatkan aspirasi Malaysia berhubung dengan pengeluaran minyak sawit yang mampan.
Dalam satu kenyataan, MoU itu ditandatangani dengan sebuah organisasi berasaskan Belanda yang menggalakkan perdagangan - IDH The Sustainable Trade Initiative adalah bertajuk 'Sustainable Climate Smart Palm Oil Production by Smallholders in Malaysia'.
MoU kedua pula adalah dengan organisasi rangkaian antarabangsa yang menggalakkan pembinaan kapasiti - Solidaridad Network Asia Limited adalah bertajuk 'National Initiative for Sustainable and Climate Smart Oil Palm Smallholders (NI-SCOPS)'.
Ia saksikan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok di The Hague, Belanda, majlis MoU itu adalah bersempena dengan Misi Ekonomi dan Promosi Minyak Sawit ke United Kingdom dan Kesatuan Eropah (Sepanyol, Belgium dan Belanda) dari 8 hingga 16 Februari, 2020.
IDH The Sustainable Trade Initiative dan Solidaridad adalah rakan pelaksana bagi pihak Belanda untuk kerjasama Program NI-SCOPS.
Menurut MPOB, projek tersebut yang dibiayai oleh rakan pelaksana akan menyediakan bantuan kepada pekebun kecil di Malaysia dan meningkatkan penyesuaian skim pensijilan mampan pekebun kecil melalui peningkatan amalan mampan.
"Lebih penting lagi, skop kerja di bawah MoU ini akan menyumbang kepada pembangunan mampan industri sawit Malaysia, terutamanya dalam memastikan kesediaan pekebun kecil sawit termasuk mengguna pakai skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melalui pendekatan landskap.
"Ia akan mengeratkan hubungan kerjasama dan perkongsian strategik antara Malaysia dan Belanda dalam inisiatif kemampanan terutamanya untuk industri sawit serta menangani perubahan iklim," kata MPOB.
-- BERNAMA
#Belanda
#ekonomi
#industri
#kelapa sawit
#Lembaga Minyak Sawit Malaysia
#Malaysia
#Memorandum Persefahaman
#minyak
#MoU
#MPOB
#pekebun kecil
#pembangunan mampan
#perubahan iklim
#Teresa Kok
#The Hague