Pengeluaran minyak mentah, kondensat susut kepada 41.8 juta tong suku ketiga 2024
Bernama
Disember 3, 2024 22:15 MYT
Disember 3, 2024 22:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat berjumlah 41.8 juta tong pada suku ketiga 2024, menyusut sebanyak 8.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyusutan ini adalah disebabkan oleh kemerosotan pengeluaran minyak mentah yang turun dua digit kepada negatif 14.2 peratus.
"Bagaimanapun, kondensat kekal positif, meningkat daripada 4.2 peratus kepada 4.6 peratus pada suku ini. Pada masa sama, pengeluaran gas asli juga menyusut sebanyak 2.7 peratus tahun ke tahun berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya.
"Ini menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak 659.3 bilion kaki padu berbanding 696.8 bilion kaki padu pada suku kedua tahun 2024," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Uzir, harga purata "lifting" berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di Malaysia turun kepada US$82.0 setong pada suku ketiga 2024 berbanding US$86.9 setong pada suku lepas.
Begitu juga harga bagi West Texas Intermediate (WTI) dan Brent yang menunjukkan penurunan dengan masing-masing mencatatkan US$76.2 setong (suku kedua 2024: US$81.7 setong) dan US$79.8 setong (suku kedua 2024: US$84.6 setong).
Mengulas mengenai prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata pada suku ketiga 2024, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat adalah sebanyak RM8.2 bilion, lebih rendah berbanding RM9.4 bilion pada suku sebelumnya.
"Thailand, masih kekal sebagai destinasi utama bagi eksport petroleum mentah dan kondensat untuk tiga suku tahun berturut-turut dengan RM2.4 bilion atau 29.4 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Jepun (20.6 peratus) dan Australia (20.1 peratus).
"Nilai eksport keluaran petroleum bertapis berkurang kepada RM27.9 bilion pada suku ini berbanding RM29.6 bilion pada suku sebelumnya. Singapura kekal sebagai negara destinasi utama eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM7.5 bilion atau 26.8 peratus, diikuti oleh Indonesia (20.8 peratus) dan Australia (18.7 peratus)," katanya.
Sementara itu, kata Mohd Uzir, nilai eksport gas asli cecair (LNG) turut mencatatkan pengurangan daripada RM13.0 bilion pada suku kedua 2024 kepada RM12.7 bilion pada suku ini dengan 45.4 peratus dieksport ke Jepun, diikuti oleh Korea (23.4 peratus) dan China (22.4 peratus).
Dari segi import, katanya, nilai import petroleum mentah dan kondensat menurun kepada RM14.2 bilion untuk suku ketiga 2024 berbanding RM18.6 bilion yang direkodkan pada suku kedua 2024.
Menurutnya lagi, Arab Saudi kekal menjadi negara asal utama bagi import petroleum mentah dan kondensat berjumlah 34.6 peratus pada suku tahun ini, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (20.9 peratus) dan Qatar (9.2 peratus).
"Nilai import bagi keluaran petroleum bertapis adalah RM28.7 bilion, lebih rendah daripada RM29.8 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya dengan Singapura sebagai penyumbang terbesar (34.0 peratus), diikuti oleh Korea (12.8 peratus) dan China (9.4 peratus)," katanya.
Bagaimanapun, kata Mohd Uzir, import bagi LNG mencatatkan peningkatan kepada RM2.8 bilion berbanding RM2.2 bilion pada suku kedua 2024.
Katanya, Australia kekal sebagai negara asal utama dengan nilai import tertinggi sebanyak RM1.9 bilion atau 66.6 peratus, diikuti oleh Amerika Syarikat (19.7 peratus) dan Papua New Guinea (6.3 peratus).
-- BERNAMA