Pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat semula 1.3 peratus pada suku kedua

Bernama
September 3, 2024 20:49 MYT
Mohd Uzir berkata pemulihan itu disebabkan oleh peningkatan dalam minyak mentah sebanyak 0.1 peratus berbanding penurunan 5.8 peratus yang disaksikan semasa suku pertama 2024. - Gambar X - DOSM @StatsMalaysia
KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia meningkat semula kepada pertumbuhan 1.3 peratus, mencatatkan 46.1 juta tong pada suku kedua 2024 selepas berada dalam aliran menurun selama dua suku berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pemulihan itu disebabkan oleh peningkatan dalam minyak mentah sebanyak 0.1 peratus berbanding penurunan 5.8 peratus yang disaksikan semasa suku pertama 2024, manakala kondensat berkembang sebanyak 4.2 peratus daripada 14.0 peratus pada suku sebelumnya.
Gas asli kekal positif dengan kenaikan 3.0 peratus (suku pertama 2024: 9.1 peratus), menyumbang 696.8 bilion kaki padu pada suku kedua 2024.
"Nilai eksport minyak mentah dan kondensat merekodkan RM7.5 bilion pada suku kedua 2024, lebih rendah daripada RM9.1 bilion yang dicatatkan semasa suku pertama 2024, dengan Thailand (29.7 peratus) kekal sebagai destinasi utama, diikuti Australia (26.8 peratus) dan Brunei (12.7 peratus).
"Nilai eksport produk petroleum ditapis menurun kepada RM29.6 bilion semasa suku kedua 2024 berbanding RM33.6 bilion sebelum ini, dengan Singapura terus mendominasi sebagai destinasi utama yang menyumbang sebanyak RM7.2 bilion atau 24.2 peratus, diikuti Australia (14.9 peratus) dan Indonesia (13.5 peratus)," kata Mohd Uzir.
Begitu juga, eksport gas asli cecair (LNG) turut mencatatkan nilai yang lebih rendah iaitu pada RM13.0 bilion dengan sejumlah RM5.0 bilion (38.3 peratus) LNG dieksport ke Jepun, diikuti China (32.8 peratus) dan Korea Selatan (14.1 peratus).
Katanya lagi, import minyak mentah dan kondensat berjumlah RM18.6 bilion untuk suku kedua 2024 berbanding RM15.7 bilion pada suku sebelum ini, dengan Arab Saudi terus menjadi negara asal utama bagi import Petroleum mentah dan kondensat, merangkumi 40.5 peratus atau bersamaan dengan RM7.5 bilion pada suku tahun, diikuti oleh Emiriyah Arab Bersatu (22.5 peratus) dan Amerika Syarikat (9.3 peratus).
Sementara itu, nilai import bagi pengeluaran petroleum bertapis berada pada paras RM29.8 bilion, lebih rendah daripada RM37.5 bilion yang dicatatkan semasa suku tahun sebelumnya, dengan Singapura menyumbang nilai tertinggi sebanyak RM11.2 bilion (37.5 peratus), diikuti oleh Korea Selatan (13.6 peratus) dan China (10.6 peratus).
"Import LNG juga mencatatkan penurunan pada suku kedua 2024 kepada RM2.2 bilion (suku pertama 2024: RM2.8 bilion).
"Australia kekal sebagai negara asal teratas dengan nilai import RM1.8 bilion atau 82.1 peratus, diikuti Mozambique (9.0 peratus) dan Amerika Syarikat (8.9 peratus)," katanya.
-- BERNAMA
#Sistem Pangkalan Data Utama #Jabatan Perangkaan Malaysia #minyak mentah #suku kedua