Pengeluaran getah asli susut 39% pada Februari

Dagang News
April 16, 2022 08:15 MYT
Pengeluaran getah asli negara menyusut 39% kepada 29.92 tan pada Februari 2022 berbanding 49,087 tan yang dicatatkan pada Januari 2022. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli negara menyusut 39% kepada 29.92 tan pada Februari 2022 berbanding 49,087 tan yang dicatatkan pada Januari 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahunan turut menunjukkan penurunan 40% daripada 49,840 tan pada Februari 2021.
Katanya, penurunan pengeluaran getah asli yang berlaku adalah disebabkan oleh pelbagai cabaran seperti yang dinyatakan laporan bulanan Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC).
"Dari segi penawaran, ia banyak dipengaruhi oleh iklim buruk, kekurangan tenaga kerja di negara pengeluar getah asli di tengah-tengah peningkatan penyebaran varian COVID-19, kes Omicron di seluruh dunia dan musim luar menoreh yang mungkin memburukkan lagi kesesakan bekalan bahan mentah pada bulan akan datang.
"Jumlah stok getah asli meningkat sebanyak 2.8% pada Februari 2022 kepada 318,699 tan daripada 310,002 tan pada Januari 2022 dengan kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 93.5% diikuti kilang pengguna getah (6.4%) dan estet getah (0.1%)
"Eksport getah asli Malaysia berjumlah 47,682 tan pada Februari 2022 turun 6.8% daripada 51,160 tan yang dicatatkan pada Januari 2022," katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan, Malaysia Februari 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, pada Jumaat.
China terus menjadi pengimport tertinggi getah asli iaitu 50.8 % daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2022 diikuti Amerika Syarikat (5.1%), Jerman (3.5%), Turki (3.4%) dan Brazil (2.1%).
Mohd Uzir berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.9 bilion pada Februari 2022, menurun 13.5% daripada Januari 2022 yang merekodkan RM2.2 bilion,” katanya.
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu sebanyak 15% kepada 658.14 sen sekilogram pada Februari 2022 daripada 572.08 sen sekilogram pada Januari 2022.
Bagi jenis sekerap pula, ia meningkat 0.6% kepada 606.41 sen sekilogram pada Februari 2022 daripada 603.05 sen sekilogram pada bulan sebelumnya dan keadaan sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) yang meningkat 0.9% hingga 14.9%.
Menurut Jabatan Perangkaan, krisis Rusia-Ukraine boleh menjejaskan rantaian bekalan bagi industri getah sintetik.
“Rusia adalah pengeksport utama getah sintetik, terutaman getah polibutadiena (PBR) serta getah isoprena (IR) dan krisis Rusia-Ukraine akan memberi kesan terhadap pasaran harga getah,” katanya. - DagangNews.com
#pengeluaran getah asli #Mohd Uzir Mahidin #ANRPC #Eksport getah asli Malaysia
;