Pengeluaran getah asli Malaysia bagi Februari 2024 menurun 2.0 peratus - Perangkaan

Bernama
April 5, 2024 04:39 MYT
Pengeluaran getah asli Malaysia pada Februari 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (85.7 peratus) berbanding sektor estet (14.3 peratus). - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli menurun 2.0 peratus pada Februari 2024 kepada 29,691 tan metrik berbanding 30,287 tan metrik pada Januari 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataan semalam Jumaat, katanya perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 9.1 peratus daripada 27,209 tan metrik pada Februari 2023.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sama berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Februari 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (85.7 peratus) berbanding sektor estet (14.3 peratus).
Jumlah stok getah asli pada Februari 2024 meningkat 11.8 peratus kepada 229,719 tan metrik berbanding 205,498 tan metrik pada Januari 2024.
Katanya kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.3 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.6 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
Eksport getah asli Malaysia meningkat 27.8 peratus kepada 55,082 tan metrik pada bulan berkenaan, berbanding 43,111 tan metrik pada Januari 2024 dengan China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu 52.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2024 diikuti Jerman (8.9 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.0 peratus), Amerika Syarikat (AS) (4.2 peratus) dan India (3.3 peratus).
Menurut kenyataan itu, sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah menyumbang kepada prestasi eksport dengan sarung tangan getah sebagai eksport utama bernilai RM1.09 bilion pada Februari 2024, meningkat 7.0 peratus berbanding RM1.02 bilion pada Januari 2024.
DOSM berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat meningkat 16.8 peratus pada Februari 2024 kepada 684.19 sen sekilogram manakala sekerap meningkat 3.7 peratus kepada 604.59 sen sekilogram.
"Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula meningkat antara 3.5 peratus hingga 16.6 peratus," katanya.
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Februari 2024, pasaran getah Kuala Lumpur menyaksikan kenaikan harga GMM 20 pada paras tertinggi sejak 2017 bagi bulan Februari 2024 iaitu pada harga 773.50 sen/kg.
"Sentimen pasaran positif dirangsang oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS serta jangkaan bekalan getah yang terhad daripada negara pengeluar utama Thailand kerana cuaca buruk dan wabak penyakit powdery mildew (kulat)," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Perangkaan Malaysia #getah asli #GMM #eksport
;