Pengeluar Reka Bentuk Asal (ODM) dalam industri perabot harus diberi fokus
Pritha Manivannan
Mac 1, 2016 16:26 MYT
Mac 1, 2016 16:26 MYT
Pengeluar Reka Bentuk Asal atau 'Original Design Manufacturers' (ODM) dalam industri perabot Malaysia harus ditingkatkan.
Menurut Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pengeluaran reka bentuk asal bagi perabot Malaysia akan meningkatkan imej serta nilai jenama 'Buatan Malaysia'.
Beliau berharap produk perabot Malaysia akan dikenali untuk kualitinya dan reka bentuk serta kegunaan inovatifnya.
Amar Douglas berkata kementeriannya akan menganjurkan beberapa program serta menyediakan kemudahan yang sesuai bagi pengeluar perabot untuk mengukuhkan lagi ODM.
"Berikutan jangkaan ekonomi global yang lebih mencabar tahun ini, industri perabut harus terus kukuh dengan pengeluaran yang lebih kreatif dan inovatif," katanya selepas melancarkan Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia 2016 (MIFF) di Kuala Lumpur.
Selaku pengeksport perabot yang kelapan terbesar di dunia, Malaysia mencapai eksport perabot bernilai RM9.14 bilion tahun lepas pada 2015.
MIFF pula mencatatkan jualan US$865 juta tahun lepas dan dijangka lebih tinggi tahun ini.
Kata Amar Douglas, ini berikutan peningkatan 10 peratus pra-pendaftaran pelawat.
Pameran ini menyaksikan 500 pempamer dari 15 negara dan wilayah iaitu China, Taiwan, Korea Selatan, Indonesia, India, Itali, Jepun, Finland, Perancis, Hong Kong, Vietnam, Turki, Amerika Syarikat dan Sepanyol.
Delegasi dari Jepun, Federmobili (Persatuan Peruncit Perabot Itali) dan Persatuan perabot Australia, India dan Turki turut akan mengunjungi pameran ini.
MIFF juga mengumumkan rancangan pembesaran pameran pada tahun 2018 dengan tambahan 25 peratus kepada100,000 meter persegi di Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang baru.
Douglas: Tuduhan Senat Perancis tidak berasas
Sementara itu, tuduhan kononnya minyak sawit keluaran Malaysia tidak mampan adalah tidak berasas.
Menurut Amar Douglas, ini kerana perladangan sawit di Malaysia dikawalselia oleh kira-kira 50 undang-undang dan peraturan.
Beliau mengulas tuduhan senat Perancis yang mengatakan tanaman sawit di Malaysia dan Indonesia tidak mampan.
Tambah beliau perladangan yang tidak bersijil masih lagi dalam proses pensijilan.
Pada masa ini, hanya 25.3 peratus perladangan sawit mempunyai sijil RSPO manakala 111,451 perladangan sawit mempunyai sijil MSPO.
"Kami sedang membantu peladang kecil-kecilan untuk mendapatkan pensijilan dengan MSPO. Kami tidak hanya membantu memberi pensijilan tetapi kami juga memberi sokongan.
"Kerajaan telah memperuntukkan RM53 juta sebagai sokongan beri peladang kecil untuk mendapatkan pensijilan. Kami memang hendak kesemua peladang mendapatkan pensijilan.
"Pensijilan bermaksud minyak sawit kita berkualiti tinggi dan kita mampan. Ia juga selaras dengan polisi kerajaan, pertumbuhan dengan kemampanan," kata Amar Douglas.
Terdahulu, senat Perancis mendakwa industri minyak sawit Malaysia dan Indonesia menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan ekosistem, serta pengeluaran minyak sawit yang tidak sihat untuk pengunaan.
Perancis sekaligus ingin meningkatkan cukai import produk berasaskan sawit ke RM4,125 setiap tan.
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas
#Menteri Perusahaan
#MIFF
#ODM
#Original Design Manufacturers
#Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia 2016
#Pengeluar Reka Bentuk Asal
#perabot
#perladangan dan komoditi