Pengeluar peralatan elektrik China teroka peluang kerjasama dengan usahawan Malaysia
Bernama
Mac 22, 2024 05:21 MYT
Mac 22, 2024 05:21 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat China sewajarnya mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pembuatan peralatan elektrik dan mengambil kesempatan daripada kedudukan strategiknya di Asia Tenggara bagi menembusi pasaran serantau yang lebih besar.
Memandangkan China dan Malaysia adalah rakan dagangan yang kukuh, pertimbangan itu akan memberikan keuntungan yang saksama ke atas mereka, kata bekas Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.
Saranan beliau ini dicetuskan ketika 10 pengeluar utama periuk nasi elektrik, cerek elektrik dan peralatan rumah lain dari Lianjiang City di Wilayah GuangDong, China berada selama empat hari di Malaysia dalam misi mencari fakta bagi meneroka potensi kerjasama dengan usahawan dan industri tempatan.
Semalam, delegasi yang diketuai oleh Setiausaha Dewan Bandaraya Lianjiang, Chen EnCai telah membuat lawatan ke Senheng, salah satu peruncit peralatan kediaman terbesar di Malaysia untuk lebih memahami landskap perniagaan runcit Malaysia.
Dikenali sebagai hab pengeluaran yang terkemuka untuk periuk nasi elektrik dan cerek elektrik, pengeluar Lianjiang menyumbang lebih separuh daripada pengeluaran peralatan tersebut di China.
Transformasi perindustriannya ke arah menjadi pembekal utama periuk nasi elektrik dan cerek elektrik bermula pada 1980-an apabila beberapa Pengeluar Peralatan Asal (OEM) ditubuhkan.
Pertumbuhan progresif mereka telah menyebabkan beberapa syarikat di bandar itu menjadi pembekal kepada jenama terkemuka China seperti Haier, Gree dan Midea.
Hari ini Lianjiang bukan sahaja terkenal dengan periuk masak dan cerek elektriknya tetapi amat popular dengan produk lain seperti periuk tekanan, periuk aruhan, periuk pelbagai fungsi, pengukus dan kuali elektrik.
Kebangkitan Lianjiang untuk menjadi pengeluar utama peralatan moden turut meningkatkan ekonominya dengan ketara melalui penciptaan pekerjaan untuk pekerja mahir seperti juruteknik, jurutera serta kakitangan pentadbiran selain peningkatan besar dalam infrastruktur dan penubuhan rantaian bekalan tempatan yang kukuh bagi menyokong ekosistem industri perkakasan rumahnya.
Semalam, delegasi tersebut mengadakan dialog dengan ahli Persatuan Perindustrian dan Perdagangan Malaysia-China (MCICA) untuk memudahkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara Malaysia dan China.
Turut hadir adalah Tan yang turut menjadi Ahli Parlimen Cheras dan pernah merangkap sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (Ogos 2018-Mac 2020).
Beliau juga bercakap tentang peluang untuk kerjasama dua hala yang lebih besar, terutamanya dengan hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan China sejak 50 tahun lalu.
Sambil menyatakan bahawa China telah menjadi rakan dagangan utama Malaysia sejak 14 tahun lalu, beliau menambah perdagangan yang sama dan strategi ekonomi yang diguna pakai oleh kedua-dua negara harus membuka jalan bagi mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala mereka.
Tan juga menggesa pengeluar Lianjiang untuk mempertimbangkan tenaga kerja berbilang bahasa dan set kemahiran lain yang terdapat di Malaysia untuk pengembangan mereka di luar negara.
Sementara itu, Chen menekankan bahawa lawatan itu juga bertujuan memupuk hubungan yang lebih mendalam dengan rakan perniagaan mereka selepas banyak produk buatan Liangjiang berjaya menembusi pasaran Malaysia di bawah pelbagai jenama.
Pengarah Biro Sains, Industri, Perdagangan dan Teknologi Maklumat Lianjiang, Liu Jingmei turut menggariskan komitmen Lianjiang terhadap penyelidikan dan pembangunan dalam peralatan rumah pintar, sambil menambah dedikasi ini telah meningkatkan taraf bandar itu untuk menjadi hab terkemuka bagi produk sedemikian di China.
Presiden MCICA Lu Zhi Fang optimis bahawa kerjasama perindustrian yang dipertingkatkan serta kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara akan membuahkan hasil yang lebih menguntungkan, seiring dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Pada masa yang sama, Datuk Lee Hwa Cheng, ahli jawatankuasa pembangunan perniagaan Majlis Perniagaan Malaysia menekankan peranan utama Malaysia dalam ekosistem halal dan mencadangkan agar delegasi ini memanfaatkan Malaysia sebagai landasan pelancaran strategik untuk eksport ke negara Islam lain.
Beliau berkata ini adalah satu bidang yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan Malaysia serta China kerana terdapat lebih 50 negara majoriti Islam di dunia dengan populasi Islam global kini dianggarkan sekitar 1.7 bilion.
-- BERNAMA