Pengeluar kereta boleh bawa masuk lebih banyak model EV untuk pemasangan tempatan

Bernama
Julai 18, 2024 20:15 MYT
Pengeluar kereta tempatan boleh membawa masuk lebih banyak model kenderaan elektrik (EV) untuk pemasangan tempatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. - Foto Facebook Liew Chin Tong
KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta tempatan boleh membawa masuk lebih banyak model kenderaan elektrik (EV) untuk pemasangan tempatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Ringkasan AI
  • Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong menyarankan pengeluar kereta tempatan membawa masuk lebih banyak model kenderaan elektrik (EV) untuk pemasangan tempatan bagi mengurangkan kos pembangunan.
  • Kerajaan menawarkan insentif cukai menarik seperti pengecualian duti import, duti eksais, dan cukai jualan untuk BEV dan FCEV yang dipasang secara tempatan sehingga 31 Disember 2027.
  • EV yang dipasang di Malaysia tidak tertakluk kepada had harga minimum RM100,000 seperti EV yang diimport.

Beliau berkata pengeluar kereta tempatan menghadapi cabaran untuk mengeluarkan EV pada harga yang kompetitif berikutan kos pembangunan teknologi EV adalah tinggi, berbanding teknologi pembangunan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) yang telah sekian lama dibangunkan.
"Oleh itu, bagi membantu pengeluar kereta tempatan dapat mengeluarkan EV pada harga yang lebih kompetitif, kerajaan telah menawarkan insentif cukai yang lebih menarik berbanding dengan kenderaan jenis ICE.
"Secara khususnya, BEV (kenderaan elektrik menggunakan bateri) dan FCEV (kenderaan berkuasa hidrogen) yang dipasang secara tempatan dapat menikmati pengecualian duti import, duti eksais serta cukai jualan sepenuhnya sehingga 31 Dis, 2027," katanya semasa sesi kamar khas Parlimen, pada Khamis.
Beliau juga berkata EV yang dipasang di Malaysia tidak tertakluk kepada had harga minimum RM100,000 seperti yang dikenakan ke atas EV yang diimport.
Liew berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai usaha mempertingkatkan keupayaan pengeluar kereta tempatan untuk mengeluarkan kenderaan tanpa pelepasan karbon (ZEV) mampu milik untuk rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
#pengeluar kereta #kenderaan elektrik #model EV #pemasangan tempatan #Liew Chin Tong
;