Pengeluar cip Belanda, Nexperia tambah pelaburan RM1.6 bilion di Malaysia

Bernama
Disember 10, 2021 08:30 MYT
Nexperia ingin mengupah 700 lagi pekerja mahir dari masa ke masa bagi mengekalkan barisan pengeluaran automatik.
KUALA LUMPUR: Nexperia Malaysia Sdn Bhd, subsidiari milik penuh Nexperia BV (Belanda), berhasrat untuk membuat pelaburan tambahan RM1.6 bilion "dalam bangunan, peralatan serta automasi" di Malaysia menjelang 2026, selepas majlis pecah tanah fasiliti terbaharunya di Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.
Naib Presiden Harith Abdullah berkata syarikat itu ingin mengupah 700 lagi pekerja mahir dari masa ke masa bagi mengekalkan barisan pengeluaran automatik.
"Kami komited untuk mengembangkan operasi di sini untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap produk kami," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pengeluar semikonduktor global dari Belanda itu adalah antara pemain utama dalam pengeluaran semikonduktor dan komponen penting yang digunakan dalam pelbagai reka bentuk elektronik.
Portfolio produknya termasuk diod, transistor serta peranti perlindungan pelepasan elektrostatik termasuk litar bersepadu analog dan logik.
Bangunan baharu setinggi empat tingkat syarikat itu menampilkan ruang bilik seluas 11,000 meter persegi. Dengan ruang binaan seluas 20,000 meter persegi, kemudahan tersebut akan menempatkan gudang bahan mentah automatik sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada pertengahan 2022.
-- BERNAMA
#Nexperia #majlis pecah tanah fasiliti #Harith Abdullah
;