Pengecualian SST tamat, permintaan kenderaan kekal kukuh

Shaznina Rozman
Ogos 8, 2022 12:21 MYT
Sektor automotif berdepan beberapa halangan namun prestasi jualan Perodua amat memberangsangkan setakat akhir bulan Julai 2022. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Industri automotif dijangka stabil di sebalik penamatan pengecualian cukai jualan SST berkuat kuasa 1 Julai.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zainal Abidin ahmad berkata, mengambil contoh Perodua dengan tempahan yang diterima masih menggalakkan dengan sejumlah 24,265 keseluruhan tempahan diterima bagi bulan Julai.
Malah katanya, jumlah industri automotif tahun ini juga berpontensi untuk melebihi sasaran 630,000 unit yang telah diumumkan oleh Persatan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini.
“Sememangnya ada kesan berikutan penamatan pengecualian SST baru-baru ini. Kita sudah hadapi keadaaan di mana sektor automotif susah untuk berkembang terutamnya ketika PKP.
"Kalau kita dapat lihat dengan sokongan kerajaan dan pengecualian SST, Perodua berjaya mengumpul lebih kurang 240,000 unit tempahan pada akhir bulan Jun dan kita akan pastikan setiap tempahan akan dihantar kepada pembeli sebelum bulan Mac tahun depan,” katanya lagi.
Namun Zainal berkata, kenaikan harga barang mentah menjadi cabaran kepada sektor automotif.
Cabaran lain termasuk para pembekal Perodua yang bergantung kepada tenaga kerja yang berdepan kesukaran disebabkan kemasukan tenaga kerja yang masih lagi belum kembali pulih sepenuhnya.
Oleh sebab itu, Perodua tidak mahu menghambat pengeluaran, ia mengambil inisiatif menghantar tenaga kerja mereka ke syarikat pembekal bagi membantu proses pengeluaran komponen.
“Kami tidak dapat beroperasi dengan cekap. Sebagaimana kita sedia maklum, cabaran dari segi pembekal semikonduktor masih menjadi masalah tetapi kami mampu hadapinya dengan perancangan strategik sepertimana kita buat sebelum ini.
"Sepanjang waktu PKP, semi konduktor tidak menjadi cabaran utama sekarang ini tetapi kenaikan kos yang ditanggung oleh Perodua,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI dalam sidang media Perodua Alza baharu.
Automotif | Pengecualian SST tamat, permintaan kenderaan masih kukuh
Pada masa yang sama, pihak Perodua dan para pembekal akan pastikan setiap operasi dapat dilakukan dengan lancar dan konsisten agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
Zainal berkata, walaupun berdepan beberapa halangan, prestasi jualan Perodua amat memberangsangkan setakat akhir bulan Julai 2022.
Syarikat telah menerima sejumlah 39,000 unit tempahan dengan 4,000 unit sudah diserahkan kepada pelanggan bagi model terbaharu Alza.
#Perodua #kereta #model alza baharu #pengecualian SST
;