Penganalisis, wakil industri optimis harga jangka terdekat minyak sawit mentah
Bernama
November 26, 2016 08:00 MYT
November 26, 2016 08:00 MYT
Penganalisis dan wakil industri minyak sawit optimis harga minyak sawit mentah (MSM) boleh mencecah AS$800 (AS$1=RM4.46) setan metrik pada separuh pertama tahun depan.
Ini berdasarkan kepada pengeluaran yang kurang memberangsangkan di Malaysia dan Indonesia pada tahun ini serta pelaksanaan mandat biodiesel baharu di AS tahun depan.
Penganalisis ISTA Mielke GmbH yang berpangkalan di Hamburg, Sigfried Falk berkata pengeluaran di Malaysia dan Indonesia susut sebanyak kira-kira enam juta tan metrik berikutan cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh fenomena El-nino, yang menyebabkan pengurangan ketara dalam stok minyak sawit serta menolak naik harga.
"Kitaran menaik semasa dalam harga minyak sawit akan berterusan, sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2017," katanya pada Persidangan Minyak Sawit Indonesia dan Unjuran Harga 2017 (IPOC) di sini pada Jumaat.
Beliau berkata El-Nino dijangka menyebabkan pengeluaran minyak sawit di Malaysia menyusut 12.5 peratus kepada 17.5 juta tan metrik dan 4.5 peratus di Indonesia kepada 31.9 juta tan metrik tahun ini.
Pengarah Godrej International Dorab Mistry berkata AS diunjur mengumumkan mandat biodiesel baharu tahun depan dengan jumlah penggunaan sebanyak 1.6 juta tan metrik minyak kacang soya.
Beliau berkata pergerakan harga MSM dan minyak kacang soya saling berkait, peningkatan dalam harga minyak kacang soya akan turut menyokong harga MSM.
Harga minyak mentah, katanya, juga mempengaruhi oleh harga MSM.
"Jika harga minyak mentah dunia bergerak antara AS$45 dan AS$55 setong, harga MSM akan berada pada kira-kira RM3,300 setan metrik pada akhir suku pertama tahun depan," kata Mistry.
Pengarah Eksekutif Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) Fadhil Hasan berkata Indonesia menjadi pengguna minyak sayur-sayuran kedua terbesar dunia setelah pelaksanaan mandat B20 yang memerlukan 20 peratus kandungan minyak sawit dalam campuran diesel tahun ini.
Beliau berkata negara itu menggunakan 200,000 tan metrik MSM sebulan di bawah mandat B20.
Bagaimanapun, penganalisis dan wakil industri kurang berkeyakinan terhadap prospek jangka pertengahan harga MSM.
Ini kerana pengeluaran minyak sawit serta minyak sayuran akan pulih yang dijangka menjejaskan harga MSM pada separuh kedua 2017.
Seorang penganalisis, Pengerusi LMC International Ltd Dr James Fry berkata pengeluaran minyak sawit dijangka meningkat semula kepada sekurang-kurangnya tiga juta tan metrik daripada tahun ini.
"Berikutan jangkaan bekalan yang lebih tinggi, minyak sawit percuma atas kapal (FOB) mungkin pada US$500 setan pada suku ketiga tahun depan daripada AS$685 satu tan metrik pada minggu ini," katanya.
Sementara itu, Falk berkata program biodiesel Indonesia akan membantu mengimbangi harga MSM daripada jatuh di bawah AS$500 setan metrik.
"Dasar biodiesel Indonesia akan memberikan nilai hebat dalam menstabilkan pasaran MSM, membolehkan harga FOB diselesaikan pada kira-kira US$500 setiap tan pada suku ketiga tahun depan," katanya.
Terdahulu pada persidangan itu, Ketua Eksekutif Kumpulan Wang Tanaman Estet Indonesia Bayu Krisnamurthi berkata penggunaan biodiesel di negara itu dijangka berkembang 68 peratus kepada 10.6 juta tan metrik menjelang 2020 daripada unjuran 6.3 juta tan metrik tahun ini.
"Bagi masa hadapan, kami mengunjurkan bahawa menjelang 2020, 26 peratus daripada minyak sawit yang dihasilkan akan ke biodiesel," katanya.
Edisi ke-12 IPOC itu yang dianjurkan oleh GAPKI, bertemakan "Pembangunan Minyak Sawit: Mengharmonikan Pasaran, Masyarakat dan Negara", adalah platform untuk eksekutif kanan perniagaan dan penggubal dasar di Indonesia merangka strategi baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penanam kelapa sawit.
Persidangan tiga hari itu yang bermula pada Khamis, telah menarik kira-kira 1,300 perwakilan dari lebih 30 buah negara. - BERNAMA