Penganalisis ramal Malaysia bakal menjadi hab pusat data terbesar di ASEAN
Bernama
Oktober 2, 2024 06:00 MYT
Oktober 2, 2024 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: RHB Research pada Rabu berkata, Malaysia akan muncul sebagai hab pusat data terbesar di rantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan kira-kira 4 gigawatt (GW) inventori diunjurkan akan dilancarkan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, lapor Agensi Berita Xinhua.
Rumah penyelidikan itu berkata dalam satu nota, kira-kira 2 GW inventori sedang dalam pembinaan dan komited, sebahagian besarnya di Johor, dengan hampir 3 GW dalam peringkat pembangunan.
"Kapasiti ini berada dalam peringkat pembangunan, dan akan ditambah secara progresif dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," katanya.
Menurut RHB, inventori pusat data yang berpotensi menjelang 2028 akan menjadi 10 kali lebih banyak berbanding apa yang telah dibina oleh industri dalam dua dekad yang lepas.
Ini akan meletakkan Malaysia di hadapan Singapura, metro pusat data terbesar di Asia yang kapasiti diunjurkan stabil pada 1.4 GW disebabkan kekurangan tanah dan syarat yang lebih ketat dikenakan ke atas binaan baharu, tambahnya.
RHB juga menyatakan kelulusan untuk pelaburan pusat data di Malaysia dijangka mencecah paras tertinggi pada 2024, menjelang garis panduan yang akan digubal bagi binaan baharu dengan saluran pelaburan kelihatan kukuh menjelang 2025.
"Kami terus melihat aliran berita berkaitan pusat data membentuk sentimen pasaran di sebalik permintaan struktur, persekitaran kadar faedah yang lebih rendah dan pelaburan bertahun-tahun oleh penyedia skala hiper," katanya.
Pelaburan itu bertindak sebagai pemangkin untuk pertumbuhan, menambah pelaburan oleh penyedia co-location borong, kata firma penyelidikan itu.
"Kami melihat cadangan komersial yang kukuh bagi pusat data melahirkan lebih banyak penggabungan dan pengambilalihan serta perkongsian strategik merentas pelbagai pihak berkepentingan, memacu pengembangan dalam gandaan transaksi," katanya.
Ia juga berpendapat bahawa pemilik tanah pertanian semakin terbuka kepada peluang kepelbagaian berikutan kemerosotan hasil daripada tanaman tradisional.
RHB melihat penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang dipercepatkan memangkin permintaan untuk infrastruktur pusat data berskala.
"Kitaran prolifik pelaburan seharusnya mengecilkan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai lebihan bekalan inventori, pada pandangan kami," katanya.
Ia menyatakan risiko lebihan bekalan juga harus dikurangkan oleh pematuhan data dan keperluan pemastautin, pengembangan modular yang dilakukan oleh pemilik pusat data dan keperluan untuk kemudahan lama diubah suai bagi memenuhi keperluan semasa.
RHB juga melihat pelaburan pusat data sebagai pemangkin untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi Malaysia dan meningkatkan tangga teknologi. - BERNAMA