Penganalisis positif terhadap prospek pertumbuhan sektor industri tahun ini

Bernama
April 9, 2024 06:30 MYT
Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, walau bagaimanapun, permintaan luar kekal sebagai faktor risiko utama yang mempengaruhi ekonomi Malaysia. - Gambar hiasan/Unslpash
KUALA LUMPUR: Penganalisis masih positif terhadap prospek pertumbuhan sektor perindustrian tahun ini, walaupun Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melemah sedikit kepada 3.1 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada Februari 2024.
Katanya, walaupun pertumbuhan IPP Malaysia pada Februari meningkat sederhana, tetapi rendah berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada Januari, namun melepasi jangkaan pasaran dengan margin yang besar, yang mana kadar pertumbuhan yang dijangkakan di antara 1.5 peratus dan 1.8 peratus.
Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, walau bagaimanapun, permintaan luar kekal sebagai faktor risiko utama yang mempengaruhi ekonomi Malaysia.
"Walaupun kerajaan dan bank pusat menjangkakan pengembangan ekonomi dalam lingkungan 4-5 peratus untuk tahun ini, tinjauan kami mencadangkan anggaran yang lebih konservatif sekitar 3.7 peratus, bergantung kepada magnitud risiko penurunan yang memberi pengaruh ketara," tambahnya.
Pada Isnin, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan sederhana IPP pada Februari terutamanya berikutan pertumbuhan output yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan yang berkembang 1.2 peratus berbanding 3.7 peratus pada Januari 2024.
Kenanga Investment Bank Bhd (KIBB) pula berkata, unjuran indeks pembuatan dikekalkan pada 4.6 peratus pada 2024 (2023: 0.7 peratus), kerana percaya momentum mungkin meningkat pada separuh kedua 2024.
"Kami terus percaya bahawa keadaan dalam sektor pembuatan akan terus bertambah baik menjelang akhir tahun, terutamanya didorong oleh jangkaan peningkatan dalam kitaran teknologi dan pemulihan beransur-ansur ekonomi China berikutan rangsangan ketara yang dilaksanakan oleh negara itu.
"Namun, sektor pembuatan boleh mengalami pemulihan yang lembap dalam tempoh terdekat, seperti yang dicatatkan oleh bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan terkini yang jatuh kepada 48.4 pada Mac (Feb: 49.5) dan kekal pada tahap penguncupan sejak Ogos 2022," katanya.
KIBB berkata, andaiannya itu juga berdasarkan trajektori pertumbuhan positif yang disokong oleh permintaan yang lebih tinggi daripada rakan-rakan serantau dan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan dalam kalangan ekonomi maju.
"Sehubungan itu, kami mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 berkembang kepada 3.3 peratus (3.0 peratus pada suku keempat 2023) dan mengekalkan unjuran pertumbuhan keseluruhan pada 4.5 peratus - 5.0 peratus pada 2024 (3.7 peratus pada 2023)," katanya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata, dari segi global, PMI Pembuatan meningkat kepada 50.6 pada Mac (Feb: 50.3), apabila aliran masuk pesanan baharu bertambah kukuh di tengah-tengah pemulihan permintaan yang meluas daripada barangan pengguna hinggalah kepada barangan perantara.
Ia berkata, permintaan yang meningkat itu juga dibantu oleh pesanan eksport barangan global yang hampir stabil, yang menyaksikan penurunan terkecil dalam trend penguncupan berterusan selama 25 bulan.
"Ini menandakan pemulihan selanjutnya bagi industri pembuatan Malaysia, ditambah dengan sokongan daripada pertumbuhan domestik yang berterusan dan pelaksanaan pelan induk negara," katanya dalam nota penyelidikan. - BERNAMA
#KDNK #sektor perindustrian #jangkaan pasaran #pengembangan ekonomi
;