Penganalisis optimis dengan sektor perbankan, namun berhati-hati dengan situasi pandemik
Dagang News
Disember 2, 2021 11:51 MYT
Disember 2, 2021 11:51 MYT
KUALA LUMPUR: Kemunculan varian baharu COVID-19, pelaksanaan Cukai Makmur merupakan antara faktor yang akan mempengaruhi prospek sektor perbankan pada suku akan datang.
Bagaimanapun, firma-firma penyelidikan optimis dengan prospek jangka panjang sektor ini terutama didorong dengan pembukaan semula ekonomi meskipun mengambil pendekatan berhati-hati.
Menurut penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, bank-bank secara amnya mengambil peruntukan berhati-hati terhadap permohonan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang dibuka pertengahan November lalu.
Tetapi, katanya, ia tidak menjangkakan sebarang impak ketara daripada pengecualian faedah ini memandangkan kriteria kelayakan yang ketat.
"Oleh itu, industri pertumbuhan pinjaman dan tahap kualiti aset bergantung kepada kestabilan dan aktiviti ekonomi yang dihidupkan semula.
"Secara keseluruhan kami berpandangan 'neutral' terhadap sektor perbankan ekoran ketidaktentuan dicetuskan varian baharu COVID-19 boleh menyebabkan sekatan pergerakan dilaksanakan semula, dan menjejaskan kemajuan ekonomi yang dicapai setakat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan perkembangan monetari dan kewangan bagi Oktober 2021 kelmarin berkata, pertumbuhan pembiayaan bersih pada Oktober meningkat sedikit kepada 4.0% berbanding 3.9% pada bulan sebelumnya mencerminkan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang sederhana.
Ia juga menunjukkan pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 3.7% berbanding 3.2% pada September disebabkan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi merentas semua tujuan.
Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul berada pada paras 3.1% pada Oktober berbanding 2.3% pada bulan sebelumnya, terus disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi, kekal berada di atas paras yang pernah dicatatkan sebelum ini.
Kualiti aset bank juga kekal kukuh pada Oktober dengan nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan menurun sedikit kepada 1.5% daripada 1.6% pada September didorong oleh segmen isi rumah.
Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan menjangkakan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik daripada anggaran 2.5 hingga 3.5% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) kepada 4-5% bagi FY22 sejajar dengan pemulihan ekonomi.
Katanya, sekatan pergerakan dalam tempoh suku kedua hingga ketiga telah menjejaskan aktiviti pinjaman bank.
"Bagaimanapun, kami berpendapat, pinjaman semakin normal sejak sekatan pergerakan dilonggarkan pada September lalu.
"Oleh itu, pandangan kami turut disokong oleh pemulihan dalam pertumbuhan industri permohonan pinjaman dan kelulusan yang masing-masing berkembang 4.2% dan 2.2% pada Oktober 2021," katanya.
MIDF Research berkata, kebanyakan kaunter perbankan masih diniagakan di bawah paras sebelum pandemik dan aktiviti perniagaan yang bertambah baik serta sentimen pengguna berkemungkinan akan memacu pertumbuhan pinjaman.
Katanya, margin faedah bersih (NIM) mungkin tidak menyaksikan banyak peningkatan sehingga kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan, memandangkan ruang yang terhad bagi kos pengoptimuman dana dan pertumbuhan akaun simpanan dan semasa (CASA) yang perlahan.
"Perlu juga berhati-hati bahawa dividen mungkin mengalami elaun peruntukan yang lebih tinggi dan Cukai Makmur dalam tempoh terdekat.
"Pengurusan dijangka meneruskan peruntukan yang konservatif bagi mengimbangi ketidaktentuan ini yang berkait dengan kualiti aset berikutan moratorium akan berakhir pada suku pertama 2022," jelasnya.
Firma itu bagaimanapun mengekalkan pandangan positif terhadap prospek jangka panjang sektor perbankan.
Artikel asal di DagangNews.com