KUALA LUMPUR: Penganalisis secara keseluruhannya berpendapat keputusan kewangan suku ketiga 2022 Maybank adalah dalam jangkaan.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pihaknya terus menyukai Maybank kerana pendedahan serantau dan kedudukan kepimpinannya yang kukuh.

"Selain itu, ia menawarkan hasil dividen yang unggul dan Maybank paling kurang terjejas oleh Cukai Kemakmuran dan pegangan saham asingnya yang lebih rendah, menjadikannya kurang terdedah kepada penjualan.

"Untuk itu kami mengekalkan saranan Beli ke atas saham Maybank dengan harga sasaran sebanyak RM9.40 sesaham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini pada Jumaat.

Bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu, mencatat pendapatan operasi bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 meningkat sedikit sebanyak 1.2% kepada RM6.15 bilion berbanding RM6.08 bilion sebelumnya berikutan kenaikan 14.3% T-ke-T dalam jumlah pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM4.72 bilion.

Walau bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) serta keuntungan bersihnya menurun berikutan pengurangan dalam pendapatan berasaskan fi dan peningkatan kerugian rosot nilai bersih yang lebih ketara berbanding kenaikan dalam pendapatan berasaskan dana.

PBT bagi suku itu berada pada RM2.27 bilion daripada RM2.61 bilion setahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih lebih rendah pada RM1.68 bilion berbanding RM1.95 bilion pada Q3FY20 disebabkan oleh penurunan pendapatan berasaskan fi bersih kepada RM1.43 bilion.

"Ini adalah dalam jangkaan, membentuk 77-80% daripada ramalan tahun penuh dan konsensus kami.

"Kami menjangkakan margin pendapatan bersih (NIM) Maybank akan menghadapi sedikit tekanan disebabkan persaingan deposit dan skop terhad untuk pengembangan CASA selanjutnya.

"Selain itu, pertumbuhan pinjaman dijangka kekal berdaya tahan memandangkan pembukaan semula ekonomi," kata HLIB Research. 


*Berita asal di DagangNews.com