Pengambilan pekerja Bangladesh perlu telus: FMM
Bernama
Februari 12, 2016 20:03 MYT
Februari 12, 2016 20:03 MYT
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik tambahan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke negara ini oleh kerajaan, berikutan pelbagai cabaran yang dihadapi majikan dalam mengambil pekerja asing.
Bagaimanapun, FMM berkata, ia mahu jaminan yang proses pengambilan pekerja itu dibuat secara telus dan cekap tanpa penglibatan atau pelantikan sebarang ejen atau syarikat penyumberan luar di Malaysia untuk membawa mereka masuk.
"Pada masa lalu, pekerja dibawa masuk oleh syarikat penyumberan luar yang diluluskan tanpa pekerjaan yang terjamin, yang menyebabkan ramai daripada mereka menjadi pendatang tanpa izin.
"Syarikat penyumberan luar yang terdesak untuk mendapatkan kerja untuk mereka kemudiannya bertindak menawarkan pekerja terlibat kepada mana-mana majikan yang memerlukan pekerja," kata FMM dalam satu kenyataan.
Menurut FMM, pekilang tidak mahu mengambil pekerja yang tidak bertujuan bekerja dalam sektor pembuatan serta tidak mempunyai kemahiran bersesuaian.
Ia menegaskan yang majikan perlu dilibatkan dalam pengambilan pekerja dan diberikan hak untk memilih/interviu pekerja sebelum proses pekerjaan yang sebenar.
FMM juga menggesa kerajaan agar segera mengadakan mesyuarat dengan persatuan majikan dan berkongsi perincian pengaturan kerajaan ke kerajaan, terutama mengenai kos pengambilan pekerja terbabit.