Pengambilalihan ekuiti Eagle High beri keuntungan kepada FGV
Bernama
Julai 13, 2015 09:01 MYT
Julai 13, 2015 09:01 MYT
Cadangan Felda Global Ventures (FGV) untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan ekuiti syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia, PT Eagle High Plantation daripada Rajawali Group, dijangka mampu memberi keuntungan jangka masa panjang kepada syarikat itu hasil penerokaan pasaran baharu di negara berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pengambilalihan itu penting bagi membolehkan FGV mengukuhkan lagi perniagaan mereka dalam perladangan sawit, sekaligus meningkatkan lagi pendapatan syarikat.
Katanya pelaburan di Indonesia dilihat sesuai memandangkan kedudukannya yang lebih dekat dengan Malaysia, selain mempunyai tanah yang lebih subur dan iklim yang sesuai.
"FGV mempunyai perancangan yang besar, jadi kita mesti mempunyai kawasan ladang yang luas. Namun FGV menghadapi masalah kekurangan tanah di Malaysia, sudah tidak ada tanah di negara untuk membuka ladang baharu.
"Kalau kita beli tanah di Kalimantan dan Papua New Guinea, tanahnya subur dan dapat menghasilkan pokok berkualiti yang mengeluarkan hasil yang baik, sekali gus memberi pulangan keuntungan yang tinggi," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan warga emas di Majid Felda Chini 5 di sini petang Ahad.
Beliau berkata selain itu, FGV juga akan memperoleh pendapatan tambahan hasil penjualan gula di negara itu memandangkan harganya lebih tinggi berbanding di Malaysia.
"Bayangkan sekiranya kita dapat menjual gula kepada lebih 200 juta penduduk di sana. FGV akan dapat keuntungan lebih dan dalam masa yang sama kita dapat membangunkan perusahaan hiliran di sana," kata Perdana Menteri.
Namun dalam tempoh yang sama, Najib turut memberi jaminan kerajaan tidak akan terburu-buru, sebaliknya akan membuat penelitian lebih terperinci sebelum memuktamadkan cadangan pengambilalihan ladang berkenaan.
"Kita tidak akan terburu-buru. Langkah pertama kita tandatangan memorandum persefahaman, peringkat kedua kita akan dapatkan persetujuan peneroka, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpann Pekerja (KWSP), kalau semua setuju barulah akan muktamadkan pembelian itu," katanya.
Pada 12 Jun lepas, FGV memeterai Perjanjian Dasar Induk dengan Rajawali Group untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan dalam EHP pada AS$680 juta (RM2.55 bilion) secara tunai dan pertukaran saham.
EHP memiliki ladang sawit seluas 425,000 hektar, dengan 67 peratus di Kalimantan dan selebihnya di Papua New Guinea (9 peratus ), Sulawesi (19 peratus) serta Sumatera (5 peratus).
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah menerima bulat-bulat berita yang dimuat naik dalam media sosial tanpa meneliti kesahihannya.
"Bukan semua berita yang dimuatkan dalam media sosial itu kita boleh telan bulat-bulat.
"Jangan jadi manusia yang tidak tahu buat penilaian, penilaian itulah yang mustahak kalau kita nak jaga ketenteraman dalam masyarakat dan nak teruskan perjuangan serta nak jaga ikatan perpaduan," katanya.