Penetapan harga siling ayam elak tekanan lebih besar kepada inflasi makanan

Dagang News
Jun 30, 2022 11:10 MYT
Kerajaan membatalkan rancangan membiarkan harga ayam diapung mulai 1 Julai ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penetapan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram mulai 1 Julai ini dilihat dapat membantu mengehadkan pelarasan lebih besar yang boleh menambah kepada keseluruhan inflasi makanan, demikian menurut MIDF Research.
Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam bagi Semenanjung Malaysia.
Malah, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).
Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 sekilogram sebelum harga itu sebelum ini diputuskan untuk diapungkan mulai 1 Julai ini. Bagaimanapun, kerajaan membatalkan rancangan membiarkan harga ayam diapung dan akan mengumumkan harga siling baharu.
MIDF Research berkata, sebagai contoh, harga siling baharu pada RM9.40 sekilogram hanya akan meningkatkan 5.6% daripada harga siling sebelum ini pada RM8.90 sekilogram.
"Ini adalah lebih kecil daripada jangkaan peningkatan sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram jika harga ayam diapungkan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut firma itu, inflasi makanan ketika ini sudah pun mencecah paras tertinggi berdasarkan data indeks harga pengguna (IHP) pada Mei 2022.
Pada bulan lalu, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan inflasi terus meningkat ke paras baharu 5.2%, tertinggi sejak November 2011, dengan 93% item makanan merekodkan kenaikan.
Kumpulan makanan adalah penyumbang utama peningkatan 2.8% IHP bagi Mei 2022, melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga 2022 iaitu 1.9%.
Dalam pada itu, katanya, kelulusan yang diberikan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membawa masuk lebih 4,500 tan metrik ayam dari Thailand dijangka menstabilkan bekalan ayam dalam pasaran domestik.
"Kami menjangkakan langkah-langkah ini akan mengehadkan tekanan kenaikan kepada harga ayam buat masa ini," katanya.
Firma itu menjangkakan kerajaan akan terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi mengurangkan harga makanan dalam tempoh jangka masa panjang.
Mengenai prospek inflasi, MIDF Research berkata, IHP akan berlegar sekitar 2.8% pada 2022, lebih tinggi berbanding 2.5% pada tahun lalu.
"Ini mengambil kira inflasi makanan yang lebih pantas dan peningkatan berterusan dalam aktiviti perbelanjaan domestik tahun ini," jelasnya. - DagangNews.com
#inflasi makanan #harga siling ayam #telur ayam #MIDF Research
;