Penerbangan sulung AirAsia Shenzhen ke Kuching tempa sejarah
Anthea Yap
Disember 27, 2017 16:52 MYT
Disember 27, 2017 16:52 MYT
Penerbangan sulung AirAsia dari Shenzhen, China ke Kuching, Sarawak, mencatat sejarah dengan menjadi laluan pertama menghubungkan Sarawak terus dari tanah besar China itu.
Pesawat AK1242 itu disambut dengan pancuran air ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) jam 7.40 pagi tadi.
Seramai 144 penumpang iaitu sekitar 84 peratus muatan disambut dengan meriah bersama kalungan rantai manik dan muzik tradisional.
Ketibaan penumpang juga disambut oleh Menteri Muda Pelancongan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Lee Kim Shin.
Sementara itu, penerbangan sulung dari Singapura ke Bintulu AK 1284 turut tiba di Lapangan Terbang Bintulu pada jam 11 pagi tadi.
Dua penerbangan terus antarabangsa itu adalah sebahagian daripada pelan AirAsia untuk meningkatkan hubungan ke Malaysia Timur.
Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee dalam kenyataannya berkata syarikat tambang rendah itu berharap pengenalan dua laluan baharu ini akan menambah jumlah pelawat ke Sarawak pada tahun hadapan.
"Kami percaya ia akan tercapai dengan sokongan berterusan yang diberikan oleh kerajaan negeri Sarawak dan pihak berkuasa pelancongan," katanya.
Setakat tahun ini, seramai 4.8 juta pengunjung melawat Sarawak iaitu 12.1 peratus lebih ramai daripada tahun 2016 dengan China dan Singapura berada dalam senarai lima negara teratas.