Penerbangan Capital A bawa 24.2 juta penumpang, melonjak 404 peratus
Bernama
Januari 26, 2023 05:00 MYT
Januari 26, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah penumpang syarikat penerbangan disatukan di bawah Capital A Bhd mencecah rekod 24.2 juta bagi tahun kewangan 2022 (TK2022), melonjak 404 peratus tahun ke tahun dan mengatasi peningkatan kapasiti 345 peratus bagi tahun ke tahun.
Syarikat penerbangan tambang rendah dalam kenyataannya berkata peningkatan jumlah penumpang itu membawa kepada faktor beban muatan sebanyak 84 peratus, satu mata peratusan daripada mencapai faktor muatan pra-COVID-19.
"Jumlah jualan tempat duduk bagi penerbangan antarabangsa terus meningkat sebanyak 3,536 peratus tahun ke tahun apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.
"Ini turut didorong oleh penarikan balik sekatan perjalanan serantau manakala jualan tempat duduk penerbangan domestik meningkat sebanyak 290 peratus tahun ke tahun," katanya.
Menurut Capital A, jumlah tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer dan hasil bagi penumpang setiap kilometer masing-masing meningkat sebanyak 410 peratus dan 488 peratus sejajar dengan kenaikan kapasiti dan bilangan penumpang yang dicatatkan.
Mengulas tempoh suku keempat TK2022, syarikat itu berkata segmen penerbangan kekal di landasan pemulihan yang kukuh dalam peralihan pasca-pandemik dengan dorongan tambahan daripada penyambungan semula aktiviti perjalanan antarabangsa.
"Berpandukan prestasi pra-COVID-19, syarikat penerbangan disatukan di bawah Capital A mencatat pemulihan jumlah penumpang yang jauh lebih pantas daripada kapasiti pada suku keempat TK2022.
"Kumpulan penerbangan itu membawa lebih daripada 7.8 juta penumpang dalam suku keempat TK2022, meningkat 187 peratus tahun ke tahun, disumbangkan oleh suntikan 9.1 juta kapasiti tempat duduk pada suku tersebut yang membawa kepada faktor muatan 86 peratus suku ke suku yang konsisten," katanya.
Dari segi prestasi penerbangan individu, Capital A berkata faktor muatan AirAsia Malaysia bagi suku keempat TK2022 meningkat satu mata peratusan kepada 87 peratus daripada suku sebelumnya manakala AirAsia Indonesia mencatat faktor muatan lebih rendah sebanyak 78 peratus bagi tempoh sama iaitu susut tiga mata peratusan tahun ke tahun dan empat mata peratusan suku ke suku.
"AirAsia Philippines pula mencatatkan faktor muatan lebih baik sebanyak 87 peratus, naik dua mata peratusan tahun ke tahun dan dua mata peratusan suku ke suku.
"Penerbangan sekutu AirAsia Thailand merekodkan faktor beban muatan suku tahunan tertinggi iaitu 90 peratus, menokok 14 peratus tahun ke tahun dan tiga mata peratus suku ke suku," katanya.
Merujuk airasia Super App, syarikat itu berkata aplikasi tersebut mencatat sebanyak 12 juta pengguna aktif bulanan setakat Disember 2022 -- peningkatan ketara 41 peratus tahun ke tahun.
"Bagi suku keempat TK2022, jumlah transaksi mencecah 1.6 juta yang menjadikan keseluruhan urus niaga tahun ini sebanyak 31 juta iaitu melonjak 386 peratus tahun ke tahun, disumbangkan terutamanya oleh jadual lanjutan penerbangan AirAsia," katanya.
Selain itu, BigPay mengakhiri tahun tersebut dengan 1.3 juta pengguna kad yang merupakan pertumbuhan sihat sebanyak 27 peratus tahun ke tahun dan mengekalkan momentum pertumbuhan suku pada empat peratus bagi suku ke suku.
-- BERNAMA