Pendigitalan pertanian tangani isu kekurangan tenaga buruh - Nectar

Astro Awani
Januari 7, 2023 14:29 MYT
Ahmad Tarmizi berkata pendigitalan adalah jalan ke hadapan bagi sektor pertanian dan perladangan. - Sumber foto Nectar
KUALA LUMPUR: Kekurangan tenaga kerja ialah salah satu sebab utama penurunan produktiviti di seluruh industri perladangan negara sejak bermulanya pandemik COVID-19.
Justeru, sebuah firma teknologi, Nectar Consortium Sdn Bhd (Nectar), menawarkan alternatif yang lebih mampan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Nectar membangunkan aplikasi pengurusan perladangan digital pertama Malaysia yang dipanggil Digital Estate Management Application atau DEMA, untuk mendigitalkan proses kerja dalam sektor perladangan.
Pengarah Urusan Nectar, Ahmad Tarmizi berkata, idea di sebalik pendigitalan perniagaan perladangan adalah untuk memperkemas keseluruhan proses dan menarik bakat muda serta komuniti perniagaan sedia ada untuk melihat sektor itu sebagai perniagaan yang menguntungkan.
“Penyelesaian digital kami juga boleh mengurangkan kos operasi dan meningkatkan hasil antara 30 dan 40 peratus secara purata. Dengan keselamatan makanan negara kita terancam, kita tidak mampu untuk terus menggunakan gaya lama dalam pengurusan pertanian dan perladangan.
“Masalah yang kita hadapi sekarang ialah kita banyak bergantung kepada tenaga kerja asing untuk sektor pertanian dan perladangan. Dengan DEMA, kami menyasarkan penduduk tempatan untuk mengambil bahagian dan memanfaatkan tanah yang ada dengan memasuki pertanian kontrak yang ditawarkan oleh Nectar. Akhirnya, mereka akan memiliki ladang dan menjadi pemilik perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa pengguna DEMA akan dapat mengakses aplikasi pada peranti mudah alih mereka pada bila-bila masa untuk menjejak dan mengendalikan perniagaan mereka, hasil kerjasama unik dengan Maxis dan DiGi.
DEMA yang beroperasi menggunakan peranti mudah alih, membolehkan penanam merekod data, menjalankan penjejakan perniagaan masa nyata dan memantau aktiviti di lapangan.
“Jika anda mengusahakan ladang seluas 10 ekar melalui kaedah konvensional, anda mungkin memerlukan kira-kira 10 pekerja.
“Bagaimanapun, dengan menggunakan DEMA, anda mungkin perlu mengupah hanya pelatih atau graduan baharu, untuk sokongan semasa proses penuaian sementara anda masih boleh memantaunya melalui aplikasi ini," katanya lagi.
#tenaga kerja #pertanian #nectar #DEMA
;