Pendigitalan jadikan perusahaan Gudang Perabot Hotel sebagai perniagaan 'kalis krisis'
Abdul Hadi Che Awang
Mei 7, 2021 08:24 MYT
Mei 7, 2021 08:24 MYT
ALOR SETAR: Kemampuan untuk bertahan dalam perniagaan terutama ketika pandemik COVID-19 bukan satu perkara yang mudah terutama bagi kumpulan pengusaha yang baru bertapak di dalam industri sekitar dua hingga tiga tahun.
Namun bagi Gudang Perabot Hotel yang memulakan operasi pada tahun 2019, pengenalan kepada sistem pendigitalan dalam perniagaan khususnya melibatkan aktiviti jual beli secara dalam talian menjadikan perusahaan barangan perabot hotel terpakai sebagai kalis krisis.
Pengusaha Perusahaan Gudang Perabiot Hotel, Khairil Akmal Hanafi, 45, berkata dia menyedari kepentingan mengaplikasi teknologi digital dalam perniagaan selepas mengambil kira sambutan dan kehadiran pelanggan secara fizikal di beberapa gudangnya yang dibuka di Alor Setar, Setapak dan Rawang.
Jelasnya, apabila beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, sukar bagi pelanggan kerana mempunyai masa yang terhad di gudang untuk memilih dan membeli barangan yang dijual.
"Memang dari awal penubuhan kami, memang bergerak di atas platform digital platform, jadi kami menjadi hanya sebuah kedai perabot digital.
"Pembelian secara fizikal kebanyakannya pada waktu sebelum penularan COVID-19.
"Kini pembeli mempunyai masa terhad jadi kami memudahkan untuk mereka dan sediakan katalog digital untuk mereka membuat pilihan," katanya.
Khairil turut menyuarakan pandangan bahawa perusahaannya mampu menjadi sebuah perniagaan yang berdaya tahan dalam jangka masa yang lama sekiranya boleh menawarkan dan memastikan khidmat jualan yang berkualiti namun dengan harga berpatutan.
Bersesuaian dengan motto perusahaan 'Gaya Mewah, Harga Murah', ini menjadikan Gudang Perabot Hotel alternatif terbaik kepada orang ramai bagi mendapatkan barangan terpakai daripada hotel dengan harga sehingga serendah 80 peratus daripada harga jualan asal.