Pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur berdepan pemotongan

Luqman Hariz
Januari 8, 2016 18:57 MYT
Menurut John, ia menjadi tradisi untuk negara memotong aspek itu terlebih dahulu jika sebarang pengubah suaian bajet diperlukan.
Perbelanjaan modal seperti sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur antara yang berdepan pemotongan sekiranya sebarang pengubahsuaian diperlukan pada Bajet 2016.
Menurut Felo Utama Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr John Antony Xavier, ini kerana kerajaan berdepan komitmen yang lebih besar dan berpanjangan terhadap perbelanjaan pembangunan lain, seperti pembinaan lebuh raya serta transit aliran ringan (LRT).
Menurut John, walaupun perbelanjaan modal mewakili peratusan yang lebih rendah dari belanjawan kali ini, ia masih menjadi tradisi untuk negara memotong aspek itu terlebih dahulu jika sebarang pengubah suaian bajet diperlukan.
Tradisinya ialah sekiranya ada pemotongan perbelanjaan awam, mereka akan tumpu kepada perbelanjaan modal.
“Tradisi mana-mana kerajaan ialah sekiranya ada pemotongan perbelanjaan awam, perkara pertama yang mereka akan tumpukan adalah perbelanjaan modal,” katanya dalam temubual bersama Astro AWANI di sini hari ini.
Jadi pastinya rakyat akan terjejas kerana apabila anda bercakap tentang perbelanjaan modal, anda bercakap tentang perkhidmatan kesihatan, pendidikan, menaikkan taraf sains dan teknologi kita,” kata beliau.
Pada masa yang sama beliau berpendapat perbelanjaan pembangunan pula kemungkinan tidak akan terjejas kerana ianya melibatkan perjanjian yang perlu dipatuhi kerajaan.
“Pembangunan infrastruktur kebanyakannya melibatkan komitmen kerajaan, jadi ianya mungkin akan diteruskan, seperti LRT, MRT, komitmen melebarkan lebuh raya, pembinaan lebuh raya Pan-Borneo dan sebagainya, itu semua mungkin akan diteruskan,” kata beliau.
Sasaran defisit fiskal -3.1 peratus
Mengulas mengenai sasaran defisit fiskal negara, John berkata sasaran defisit fiskal 3.5 peratus merupakan satu sasaran yang lebih ideal jika mengambil kira situasi ekonomi global kini.
“Sasaran 4.0 peratus mungkin terlalu tinggi, kita boleh kembali ke sasaran negara pada tahun 2014 iaitu 3.4 peratus.
Saya rasa pasaran akan memahami sekiranya Malaysia meningkatkan sasaran defisit fiskal dari 3.1 peratus kepada 3.5 peratus,” ujarnya.
Saya rasa pasaran akan memahami sekiranya Malaysia meningkatkan sasaran defisit fiskal dari 3.1% kepada 3.5%.
John menambah, dalam sebarang pengubah suaian sasaran bajet, kerajaan juga perlu meneliti semula paras harga minyak rujukan kepada sekitar 34 atau 35 dolar Amerika setong berbanding 48 dolar Amerika setong yang menjadi paras rujukan asal sewaktu mengumumkan Bajet 2016 23 Oktober lalu.
Pada Jumaat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Bajet 2016 akan diteliti semula ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang berterusan.
Kata Najib di samping susutan harga minyak mentah dunia, kelemahan ekonomi China, kelemahan perdagangan dunia serta pengukuhan dolar Amerika antara yang memaksa kerajaan mengambil langkah sedemikian.
#Bajet 2016 #Datuk Seri Najib Tun Razak #Infrastruktur #kesihatan #minyak #pembangunan #pemotongan #pendidikan #Perbelanjaan Modal #Perdana Menteri
;