Pendekatan sedia ada mampu kekalkan hutang isi rumah di paras berhemat - Gabenor BNM
Bernama
Julai 18, 2016 18:24 MYT
Julai 18, 2016 18:24 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) yakin pelbagai langkah dan pendekatan yang diperkenalkannya sejak beberapa tahun lepas adalah memadai untuk mengekalkan hutang isi rumah semasa di paras berhemat.
Pada masa ini paras hutang isi rumah negara adalah 89.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara yang tertinggi di Asia.
Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim berkata hutang isi rumah adalah antara bidang yang sentiasa dipantau oleh bank pusat berkenaan.
"Ada banyak cara untuk menguruskan hutang isi rumah. Malah antara instrumen yang kita laksanakan adalah pendekatan berhemat makro dalam pelbagai bentuk. Kita tidak akan memberikan sebarang sasaran khusus (bagi hutang isi rumah), sebaliknya menyenaraikan apakah prinsip yang perlu dilaksanakan institusi perbankan jika mahu menjadi lebih berhemat.
"Oleh itu, mereka akan menentukan bidang mana yang mahu diberi pinjaman, sektor yang mahu diceburi serta mengguna pakai strategi mengikut perniagaan serta struktur pembiayaan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) 2016, di sini, hari ini.
Muhammad menegaskan, BNM turut melakukan pemantauan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dan mahu membuat pinjaman mampu mendapatkan akses pembiayaan berkenaan.
"Malah keputusan BNM untuk mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan pada suku kedua tahun ini dan untuk tempoh seterusnya.
"Semalam (Ahad), salah satu institusi perbankan utama kita mengumumkan akan mengurangkan kadar asas pinjamannya sebanyak 20 mata. Ini bagus kerana ia dapat menggalakkan pembiayaan dan peminjam mempunyai lebih wang untuk berbelanja. Ia dapat mendorong perbelanjaan dan dapat memberi manfaat kepada ekonomi," katanya.
Jelas Muhammad, bagi memastikan ekonomi terus berada di landasan kukuh, aspek penting yang perlu diutamakan adalah memastikan pekerjaan dan pendapatan terus mencatat pertumbuhan.
"Jika kita memiliki kedua-dua kriteria ini, saya rasa hutang isi rumah itu akan berada di paras berhemat. Sudah pasti kita mahu melihatnya (hutang isi rumah) terus menurun, namun selagi kedua-dua faktor ini berterusan, saya yakin kita okey.
"Kita juga mahu melihat hutang isi rumah terus pulih, namun apa yang lebih penting adalah menyaksikan aspek pekerjaan dan pendapatan itu terus berkembang. Jika ini berlaku, maka kesejahteraan dan kemakmuran rakyat juga akan meningkat," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengurangan OPR, Muhammad berkata BNM memutuskan pelaksanaan penurunan 25 mata OPR itu pada bulan Julai bagi memberi tempoh masa mencukupi untuk peralihan dasar monetari itu ke dalam suku kedua tahun ini.
"Saya rasa itulah alasannya mengapa kita melaksanakannya pada Julai. Jika dibuat pada September, ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi namun impaknya tidak sebanyak mana jika dilaksanakan pada Julai," jelasnya.
Muhammad turut menyifatkan pelbagai pandangan yang dilontarkan oleh kalangan pakar ekonomi dan pengurus dana mengenai langkah pengurangan OPR itu sebagai petanda baik kerana menunjukkan mereka melihat data ekonomi itu daripada perspektif berbeza.
"Kalangan pakar ekonomi dan penganalisis itu ada pandangan masing-masing. Mereka membaca kenyataan kita dan membuat penilaian sendiri.
"Ada yang mengandaikan akan ada beberapa siri pengurangan kadar faedah (selepas ini), ada pula berkata bank pusat akan menurunkan kadar faedah dan membiarkannya untuk seketika bagi melihat impaknya terhadap ekonomi.
"Tidak kurang juga yang menyifatkan (pengurangan OPR) ini adalah yang kedua terakhir bagi tahun ini dan akan disusuli dengan satu lagi tindakan seumpamanya," katanya.
Bagaimanapun, tegas Muhammad, keutamaan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) adalah membuat keputusan sewajarnya berasaskan data yang dibentangkan pada mesyuarat semasa MPC.
"Minda kita sentiasa terbuka...kita tidak mempunyai sebarang tanggapan awal mengenai apa yang akan dibuat sehinggalah merujuk data yang dikemukakan kepada kita," katanya.
#Bank Negara Malaysia
#Gabenor Bank Negara
#Hutang isi rumah
#KDNK
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#muhammad ibrahim