Pendedahan global diperlukan untuk tingkatkan syarikat teknologi tempatan - MDEC

Bernama
Oktober 13, 2024 06:30 MYT
MDEC menerusi Kementerian Digital terlibat dalam beberapa projek utama di bawah ASEAN yang bertujuan membangunkan rangka kerja untuk aliran data rentas sempadan dan perdagangan digital. - Gambar hiasan
DUBAI: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menekankan kepentingan mendedahkan syarikat teknologi digital tempatan kepada amalan terbaik antarabangsa untuk membantu mereka berkembang melangkaui pasaran Malaysia, menarik pelaburan asing dan memupuk bakat (pekerja berkemahiran).
Ketua Pemacu Industri Digital MDEC Wan Murdani Wan Mohamad berkata pengetahuan sedemikian akan membolehkan mereka bersaing pada peringkat global.
"Syarikat teknologi Malaysia tidak seharusnya memenuhi keperluan pasaran domestik sahaja...Mereka perlu mempunyai pendedahan yang mencukupi dan belajar daripada amalan terbaik rakan kongsi asing untuk mempelbagaikan dan membangunkan produk eksport.
"MDEC sedang berusaha untuk memastikan syarikat-syarikat ini dapat melayani pelanggan domestik dan antarabangsa dengan memupuk perkongsian dan menyediakan platform untuk mereka meneroka pasaran baharu," katanya dalam temu bual dengan Bernama sempena Expand North Star (ENS) 2024 di sini pada Ahad.
Selain itu, Wan Murdani juga menyatakan bahawa ASEAN membentangkan peluang untuk pertumbuhan perdagangan digital.
"MDEC menerusi Kementerian Digital terlibat dalam beberapa projek utama di bawah ASEAN yang bertujuan membangunkan rangka kerja untuk aliran data rentas sempadan dan perdagangan digital.
"Ini akan membantu memudahkan urus niaga perniagaan dan pemindahan data yang lancar di rantau ini," katanya.
Wan Murdani menyebut bahawa Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ialah salah satu inisiatif yang menumpukan pada memupuk kerjasama digital di seluruh negara ASEAN untuk menggalakkan keterangkuman dan integrasi digital.
"Ini akan memacu ekonomi digital ke hadapan dan membuka peluang lebih besar untuk semua anggota ASEAN," katanya.
Melangkah ke hadapan, Wan Murdani meluahkan keyakinan kedudukan Malaysia sebagai pintu gerbang digital ke ASEAN terutamanya apabila ekonomi digital rantau ini terus berkembang.
"Dengan memberi tumpuan kepada infrastruktur, keselamatan siber, pembangunan bakat dan pengembangan pasaran strategik, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui pertumbuhan digital di rantau ini.
"MDEC berperanan untuk memastikan Malaysia dilengkapi dengan peralatan, bakat dan perkongsian yang betul untuk merebut peluang dalam kedua-dua ASEAN dan ekonomi digital global...Kami yakin dengan strategi yang betul, Malaysia boleh terus berkembang maju sebagai penggiat utama," katanya.
ENS adalah pameran syarikat pemula niaga dan pelaburan terbesar di dunia, berlangsung di Dubai Harbour dari 13 hingga 16 Oktober, menampilkan lebih 6,500 syarikat pameran, 1,800 syarikat permulaan dan 1,200 pelabur dari lebih 180 negara yang mengambil bahagian.
-- BERNAMA
#MDEC #teknologi digital #syarikat tempatan #antarabangsa #pelaburan
;