Pendapatan purata isi rumah Malaysia bertambahbaik pada 2014 - Kajian KRI

Najib Aroff
Ogos 29, 2016 22:28 MYT
BR1M harus diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah. - Gambar fail
Pendapatan median dan purata isi rumah di Malaysia bertambah baik dari tempoh 2012 hingga 2014 dengan pertambahan purata RM1,141.
Pengarah Urusan Khazanah Research Institute (KRI), Datuk Charon Mokhzani berkata pendapatan median rakyat Malaysia berada pada RM4,585 manakala pendapata purata berada pada RM6,141 bagi setiap isi rumah.
Menurutnya lagi, kajian Kedudukan Isi Rumah Siri Dua oleh KRI, pendapatan kumpulan bawah 40 peratus (B40) turut tumbuh pantas bagi tempoh berkenaan.
Beliau berkata, antara yang memacu pertumbuhan itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Kadar upah meningkat, apabila kadar gaji minimum berkuatkuasa, ia membantu golongan berpendapatan rendah dan juga BR1M.
"Ketiga-tiga perkara ini membantu meningkatkan pendapatan. Bagi jangka panjang kita perlu bantu orang untuk dapatkan gaji yang tinggi.
"Untuk capai ini, pendidikan adalah kunci, semakin tinggi pendidikan, semakin tinggi gaji. Kita perlu ubah ekonomi supaya peluang pekerjaan yang diwujudkan memerlukan pendidikan dan latihan." Katanya selepas membentangkan laporan tersebut di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kajian KRI, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, BR1M harus diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
"BR1M memerlukan penambahbaikan, contohnya ketirisan seperti ada yang bukan golongan B40 tetapi menerima BR1M, ini penambahbaikan kecil yang diperlukan. Perubahan besar yang diperlukan dalam BR1M adalah jadikan ia bersyarat. Sebagai contoh pastikan anak kepada penerima pergi ke sekolah," katanya.
Dr Muhammed berkata, anak penerima BR1M perlu melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan wang itu digunakan untuk membeli makanan sihat.
Tambahnya lagi, pendekatan bersyarat dalam pemberian bantuan sudah dilakukan banyak negara.
Bagaimanapun, Charon dan Dr Muhammed berkata, bergerak ke hadapan, cabaran ekonomi dijangka memberi tekanan ke atas pendapatan isi rumah.
Dalam laporan KRI, jumlah kemiskinan turut menunjukkan penurunan kepada 0.6 peratus pada 2015 berbanding 1.7 peratus 2012.
Namun antara kegusaran yang digariskan adalah kadar pengangguran yang meningkat meskipun masih rendah pada 3.1 peratus pada 2015.
Golongan belia khususnya mempunyai pengangguran pada 3.4 peratus pada tahun berkenaan.
Antara hasil kajian lain yang dilaporkan termasuk hutang isi rumah yang meningkat dengan isi rumah dengan pendapatan kurang RM3000 sebulan mempunyai nisbah hutang 7 kali gaji tahunan mereka.
#Bantuan Rakyat 1Malaysia #Charon Mokhzani #Dr Muhammed Abdul Khalid #Isi Rumah Siri Dua #KRI
;